MUN Yee anggap setiap pertandingan perlu serius dan berharap semua akan berjalan dengan lancar. FOTO OWEE AH CHUN.
MUN Yee anggap setiap pertandingan perlu serius dan berharap semua akan berjalan dengan lancar. FOTO OWEE AH CHUN.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Penerjun berpengalaman negara Leong Mun Yee teruja menantikan Kejohanan Terjun Antarabangsa atas talian yang pertama kali akan dianjurkan pada 5 dan 6 Disember ini.

Ia adalah sesuatu yang dinantikan selepas kali terakhir menyertai pertandingan pada Februari lalu di Kejohanan Terjun Siri Dunia di Montreal, Kanada dengan kejayaan meraih perak dalam acara 10m platform seirama bergandingan bersama Pandelela Rinong.

Katanya, dia akan berusaha memberi yang terbaik dan tidak boleh menganggapnya mudah kerana membabitkan penyertaan daripada negara luar seperti Australia, New Zealand, Jepun, Singapura dan atlet negara.

"Setiap pertandingan perlu serius dan berharap semua akan berjalan dengan lancar berikutan ia adalah kali pertama dianjurkan secara 'online'.

"Ini adalah pertandingan kedua selepas awal tahun lalu dan selepas itu tiga bulan berada di rumah tanpa latihan di kolam kerana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) jadi saya harap semua akan OK nanti," katanya.

Sementara itu, Persekutuan Renang Malaysia (MAS) optimis dapat menganjurkan pertandingan itu dengan jayanya tanpa ada sebarang masalah berikutan ia adalah kali pertama dianjurkan atas talian.

Ia sebagai langkah proaktif bagi memastikan skuad terjun negara kekal kompetitif kerana setiap peserta akan diwakili oleh seorang juri.

Penilaian dan mata terjunan akan diberikan barisan juri yang ditetapkan Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA).

Setiap penerjun akan membuat terjunan di setiap venue mereka dan seterusnya juri akan memberikan markah selepas itu.

Kejohanan bagaimanapun hanya akan mempertandingkan acara Sukan Olimpik iaitu 3m papan anjal dan 10m bagi plaftorm individu serta seirama membabitkan atlet terjun lelaki dan wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 9:12 PM