Norliyana Kamaruddin. FOTO Agensi
Norliyana Kamaruddin. FOTO Agensi
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Sekalipun acara heptatlon tidak dipertandingkan, Norliyana Kamaruddin akan menggunakan kesempatan berkenaan untuk menguji prestasinya di kejohanan simulasi bulan ini.

Menurut atlet yang berjaya mencatat rekod baharu kebangsaan di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 itu, ini adalah peluang terbaik buatnya untuk mempertingkatkan prestasi dalam beberapa acara.

"Memang saya akan mengambil bahagian di kejohanan ini tapi tidak mempunyai sebarang sasaran khusus cuma mahu menguji kemampuan saya dalam beberapa acara yang terdapat dalam sukan heptatlon," katanya.

Norliyana berkata, dia akan mengambil bahagian dalam acara lompat tinggi, lontar peluru dan 200 meter.

"Tidak ada sebarang sasaran khusus, cuma ini peluang terbaik untuk melihat dan memperbaiki teknik lontaran dalam acara lontar peluru. Ini juga peluang untuk kita bersaing dengan diri kita sendiri.

"Kejohanan ini juga adalah peluang terbaik meningkatkan tahap kecergasan selepas tidak beraksi di mana-mana kejohanan antarabangsa akibat Covid-19," katanya.

Sebelum ini Norliyana bergelut dengan kecederaan lutut yang dialami ketika berlatih namun sudah sembuh dalam tempoh sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 11:57 PM