Chew Yiwei bakal mengambil bahagian dalam kejohanan Terjun Antarabangsa atas talian.
Chew Yiwei bakal mengambil bahagian dalam kejohanan Terjun Antarabangsa atas talian.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kecederaan yang dialami beberapa minggu lalu mengakibatkan persiapan penerjun negara, Chew Yiwei sedikit terganggu menjelang Kejohanan Terjun Antarabangsa atas talian yang pertama esok.

Bagaimanapun atlet kelahiran Klang, Selangor itu tetap gembira dapat menyertai pertandingan berkenan biarpun bukan 100 peratus cergas dan berada di tahap terbaiknya.

Kata Yiwei yang masih berpeluang untuk beraksi di temasya Olimpik Tokyo tahun depan, apa yang menjadi sasarannya ketika ini dia dapat memberikan persembahan yang terbaik dengan apa yang dimilikinya ketika pertandingan itu nanti. "Saya tahu cabaran memang sengit terutama daripada rakan senegara Ooi Tze Liang dan Syafiq (Puteh) kerana persiapan mereka lagi padu daripada saya.

Keadaan kecederaan yang dialami Chew Yiwei
Keadaan kecederaan yang dialami Chew Yiwei

"Saya alami kecederaan ketika sesi latihan dan mula kembali berlatih dua minggu lalu. Kecederaan itu tidaklah terlalu serius tapi sepanjang tempoh rehat itu saya banyak ketinggalan berbanding rakan yang lain dari segi latihan.

"Jadi saya harap di kejohanan kali ini saya dapat memberikan aksi dengan apa yang saya buat ketika latihan dan juga dapat motivasi untuk kejohanan yang seterusnya lepas ini," katanya.

Berpeluang untuk melayakkan diri ke Olimpik Tokyo tahun depan, Yiwei, 25, dijadualkan bergandingan bersama Tze Liang akan memberi fokus dalam acara 3m terjun seirama dan individu dengan peluang terakhir mereka untuk layak ke Olimpik adalah di Kejohanan Terjun Piala Dunia di Tokyo April tahun depan.

Ketika ini seramai 12 atlet sudah melepasi syarat kelayakan ke Olimpik dalam acara 3m papan anjal individu dengan 18 lagi tempat menjadi rebutan di Piala Dunia nanti.

Manakala bagi acara seirama hanya empat tempat menjadi rebutan selepas China, Britain, Mexico dan Jepun sudah mengesahkan tempat ke temasya terbesar dunia itu. Justeru kejohanan antarabangsa atlet talian yang turut membabitkan penyertaan penerjun dari Jepun, Australia, New Zealand dan Singapura itu diharapkan dapat menjadi penanda aras prestasi atlet ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 8:25 PM