GRILLO bersedia memberikan aksi terbaik dalam baki dua lagi pusingan di Mexico. FOTO AFP
GRILLO bersedia memberikan aksi terbaik dalam baki dua lagi pusingan di Mexico. FOTO AFP
AFP

Mexico City: Pemain golf Argentina, Emiliano Grillo mencatatn lapan di bawah par 63 untuk mendahului dengan empat pukulan pada pusingan kedua saingan Klasik Mayakoba PGA Amerika Syarikat (AS).

Pemain berusia 28 tahun dari benua Amerika Selatan itu, yang merangkul kejuaraan tunggal pada Terbuka Frys.com 2015, mengumpul 13 di bawah par 129 selepas aksi 36 lubang di Playa del Carmen, Mexico.

"Saya bermain dengan baik sepanjang hari, dengan melakukan putt sempurna dan berjaya membawa bola menghampiri lubang. Itu yang mampu saya lakukan," kata Grillo.

Pemain Amerika Syarikat, Tony Finau dan Tom Hoge berkongsi kedudukan kedua selepas mengumpul 133 pukulan, manakala pendahulu hari pertama dari Scotland, Russell Knox ketinggalan satu pukulan di belakang.

Saingan bermula lewat sejam disebabkan cuaca buruk, dengan 18 pemain terpaksa menghabiskan saingan mereka pada hari ini.

Grillo yakin mampu meraih kejuaraan dengan mengharapkan aksi sama pada baki dua lagi pusingan.

"Saya melakukan kerja keras dalam beberapa hari. Saya perlu mengekalkan rentak sama untuk baki dua hari lagi. Saya yakin mampu meraih kejuaraan.

"Ia memang agak sukar untuk mengekalkan prestasi sama dalam empat hari, jadi saya perlu melakukan perkara sama bermula pukulan dari fairway dan merapatkan bola dengan lubang." katanya.

Grillo membuka dan menutup saingan sembilan lubang pertama dengan birdie dan mengulangi aksi sama di lubang keempat namun sedikit terganggu dengan satu bogey di lubang ke-10.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 11:14 AM