MEGAT berkata akan menunggu arahan MSN. FOTO NSTP
MEGAT berkata akan menunggu arahan MSN. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menjelaskan beliau kini sedang menunggu arahan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung tindakan selanjutnya yang perlu dilakukan.

Ia susulan lima atlet para dan seorang pegawai pengiring yang melaporkan diri di Kompleks Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan Ahad lalu disahkan positif Covid-19.

Biarpun sedih mendapat perkhabaran itu namun ia adalah hakikat yang perlu diterima kerana tiada apa yang dapat dilakukan berikutan kes membabitkan pandemik Covid-19 semakin meningkat.

"Ketika ini semua atlet yang disahkan positif itu sudah diasingkan. Untuk langkah seterusnya, saya akan menunggu arahan daripada MSN.

"Semua atlet saya anggap seperti keluarga dan sentiasa berdoa supaya Covid-19 ini tidak terkena kepada atlet para negara.

"Tapi apa nak buat. Kes semakin meningkat dan kita sendiri tidak menjangkakan perkara ini dan ia boleh terkena kepada sesiapa saja.

"Jadi, sekiranya MSN mahu mengadakan perbincangan, saya bersedia untuk berbincang kerana mahukan yang terbaik buat semua atlet di bawah MPM," katanya.

Kesemua atlet yang disahkan positif Covid-19 itu menjalani ujian calitan ketika hadir melaporkan diri selepas diberi cuti selama seminggu sempena perayaan Krismas dan tahun baru.

Megat bagaimanapun memohon agar ujian dapat dilakukan secara berkala membabitkan semua atlet para negara bagi menghindari ke bolehjangkitan kepada atlet lain.

Ia bagi memastikan pusat latihan di Kampung Pandan itu benar-benar terhindar daripada jangkitan Covid-19 selepas enam kes berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2021 @ 5:52 PM