CABRERA diberkas di kawasan kejiranan Leblon di Rio dan akan terus ditahan sehingga diekstradisi ke Argentina. FOTO Agensi
CABRERA diberkas di kawasan kejiranan Leblon di Rio dan akan terus ditahan sehingga diekstradisi ke Argentina. FOTO Agensi
AFP

Rio de Janeiro: Pemain golf Argentina, Angel Cabrera, yang dikehendaki oleh Interpol disebabkan tuduhan keganasan rumah tangga ditangkap di Rio de Janeiro semalam dan akan diekstradisi ke negara asalnya untuk diadili, kata polis Brazil.

Juara dua kejuaraan utama, Terbuka Amerika Syarikat 2007 dan Masters 2009 yang berusia 51 tahun itu dikehendaki oleh polis Argentina kerana melakukan tindakan mencederakan, mencuri, berulang kali tidak mematuhi pihak berkuasa dan melakukan ancaman jelas polis Brazil dalam satu kenyataan.

Dia diberkas di kawasan kejiranan Leblon di Rio dan akan terus ditahan sehingga diekstradisi ke Argentina namun tidak ada sebarang tarikh rasmi mengenai tindakan berkenaan.

Interpol pada September lalu mengeluarkan notis merah untuk pemain golf berkenaan dengan meminta pasukan polis di seluruh dunia untuk mencari orang yang dikehendaki dan menghantarnya mereka pulang ke negara asal.

Cabrera menjadi buruan di Argentina sejak 14 Ogos lalu ketika ia gagal hadir ke pejabat pendakwa untuk pertemuan seperti yang dijadualkan, selepas dituduh melakukan kekerasan terhadap pasangannya, Cecilia Torres Mana.

Cabrera kali terakhir dilihat pada kejohanan pada Ogos lalu di Ohio di Amerika Syarikat.

Mana mengajukan aduan penyalahgunaan terhadap pemain golf itu pada tahun 2016, mengatakan dia ditumbuk di bahagian muka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 12:10 AM