X
AHMAD Faedzal menegaskan pihak ISN menitikberatkan aspek kesihatan, keselamatan dan kebajikan atlet serta pegawai terutama dalam menghadapi cabaran Covid-19. FOTO NSTP
AHMAD Faedzal menegaskan pihak ISN menitikberatkan aspek kesihatan, keselamatan dan kebajikan atlet serta pegawai terutama dalam menghadapi cabaran Covid-19. FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tiga pegawai Institut Sukan Negara (ISN) yang terbabit dengan kem latihan berpusat secara kuarantin didapati positif Covid-19 ketika ujian dijalankan pada 12 Januari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN Ahmad Faedzal Md Ramli berkata kesemua individu itu diuruskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihaknya sudah mengambil tindakan susulan sewajarnya.

"Senarai kontak rapat juga dikenal pasti untuk mereka menjalani ujian saringan Covid-19 dan kini diletakkan di bawah 'Home Surveillance Order (HSO)'. Kita juga menjalankan kerja-kerja pembersihan serta sanitasi di ibu pejabat ISN di Bukit Jalil.

"Sebagai agensi yang bertanggungjawab terhadap bidang perubatan, sains dan inovasi sukan, pihak ISN amat menitikberatkan aspek kesihatan, keselamatan dan kebajikan atlet serta pegawai terutama dalam menghadapi cabaran Covid-19," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata 47 pegawai ISN terdiri daripada pegawai perubatan dan sains sukan memulakan perkhidmatan serta memantau perkembangan program latihan atlet dan jurulatih negara di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN) di lima lokasi kem latihan berpusat ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) ini.

Lima venue berkenaan ialah Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil, Kompleks MSN Taman Keramat, Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan dan Pusat Latihan Kebangsaan Perahu Layar, Langkawi.

"Skop tanggungjawab utama pasukan ISN semasa kem latihan berpusat ini turut meliputi pemantauan tahap kesihatan, khidmat rawatan awal, rujukan klinikal perubatan serta pematuhan terhadap amalan penjagaan kesihatan diri terutama dalam pengurusan 'counter measures COVID-19'.

"Dalam aspek prestasi pula, pasukan sains sukan ISN berperanan dalam memberi khidmat kepakaran sains sukan terutama dalam aspek pemakanan sukan, penyesuaian fizikal, psikologi sukan, fisiologi senam dan biomekanik," katanya.

Sebelum ini, MSN mengesahkan tujuh atlet dan enam pegawai positif Covid-19 selepas kembali ke kem latihan apabila pulang cuti Krismas dan Tahun Baharu pada 3 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 10:11 PM