X
IRUAN berkata Saidov mempunyai tempoh sebulan untuk menilai prestasi dan memilih atlet yang akan di bawah kendaliannya. FOTO NSTP
IRUAN berkata Saidov mempunyai tempoh sebulan untuk menilai prestasi dan memilih atlet yang akan di bawah kendaliannya. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Skuad tinju negara tidak sabar menantikan kehadiran jurulatih baharu dari Uzbekistan, Rustam Saidov yang dijangka tiba hujung bulan ini.

Presiden Persekutuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM), Datuk Mohd Iruan Zulkifli bagaimanapun berkata, kehadirannya tertakluk kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung syarat kebenaran memasuki negara ini.

Andai semuanya berjalan seperti dirancang, Saidov yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Sydney 2000 itu mempunyai tempoh sebulan untuk menilai prestasi seterusnya memilih atlet yang akan di bawah kendaliannya.

Beliau berkata, ketika ini PTAM mempunyai 20 atlet dengan enam daripadanya adalah atlet podium selain empat rakan pelatih dan atlet pelapis.

"Kita akan beri masa sebulan beliau pilih atlet yang mana terbaik untuk bawa pingat pada Malaysia.

"Selain itu kita akan menyusun semula jadual latihan dan memang ada dalam perancangan sekiranya kes Covid-19 ini semakin menurun, PTAM menimbang untuk menghantar barisan atlet ke luar negara seperti Cuba atau Kazakhstan," katanya.

Namun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini yang mana banyak pertandingan dalam kalendar PTAM terpaksa dibatalkan, Iruan memohon atlet tinju negara untuk terus kekal berlatih dan berdisiplin.

PTAM sebelum ini mengumumkan pelantikan bekas petinju dari Uzbekistan itu sebagai ketua jurulatih yang baharu untuk tempoh dua tahun bermula awal bulan ini.

Selain muncul juara Asia pada 1999, 2002 dan 2007, Saidov turut merangkul pingat emas pada Sukan Asia 2002 di Busan, Korea Selatan dan Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar sebelum memulakan kariernya sebagai jurulatih.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 10:37 PM