SOUFI tetap optimis sekurang-kurang akan ada satu pertandingan untuk tahun ini. FOTO Ihsan MSN
SOUFI tetap optimis sekurang-kurang akan ada satu pertandingan untuk tahun ini. FOTO Ihsan MSN
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Muhammad Soufi Rusli yang dinobatkan sebagai pemain terbaik ketika kejohanan simulasi boling padang Disember lalu tetap menjalani latihan seperti biasa di rumah biarpun tiada sebarang makluman berhubung jadual pertandingan dimaklumkan.

Atlet yang beraksi dalam acara perseorangan ketika temasya Komanwel Gold Coast itu bagaimanapun tetap berharap sekurang-kurangnya dapat menyertai satu pertandingan kompetitif tahun ini.

Katanya, barisan atlet boling padang sebelum ini dimaklumkan akan menyertai kejohanan di Thailand sekitar bulan Februari namun ia dibatalkan kerana pandemik Covid-19.

Biarpun ia sedikit mengecewakan terutama acara boling padang tidak dipertandingkan di Sukan SEA Vietnam, Soufi tetap optimis sekurang-kurang akan ada satu pertandingan untuk tahun ini.

"Dalam tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini semua ditunda dan saya sendiri kini menjalani latihan di rumah mengikut jadual yang sudah ditetapkan oleh jurulatih.

"Sasaran saya untuk tahun ini cuma satu kejohanan iaitu Kejohanan Asia yang akan berlangsung sekitar bulan September atau Oktober dan saya amat berharap ia dapat dilangsungkan mengikut jadual," katanya yang mula bermain acara boling padang sejak berusia 16 tahun.

Pernah merangkul pingat perak di Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia pada 2017 dan gangsa di Kejohanan Juara antara Juara di Gold Coast, Soufi yang kini berusia 34 tahun berkata, masih banyak lagi misi yang ingin dicapai olehnya.

Antaranya adalah meraih pingat di Komanwel untuk mengubati kekecewaan temasya lalu apabila sekadar menduduki tempat kelima dalam saingan perseorangan.

Justeru segala halangan malah PKP dan pandemik ini tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus melakarkan kejayaan dan dinobatkan sebagai pemain terbaik di kejohanan simulasi membuat dia semakin bersemangat untuk terus beraksi dalam sukan boling padang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 12:14 AM