DANIELLE berjaya mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Tournament of Champions. FOTO AFP
DANIELLE berjaya mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Tournament of Champions. FOTO AFP
AFP

Miami: Pemain nombor lima dunia, Danielle Kang membenam dua birdie pada tiga lubang terakhir untuk mendahului dua pukulan pada pusingan kedua Tournament of Champions.

Pemain Amerika Syarikat (AS) berusia 28 tahun itu, yang memburu kejuaraan LPGA keenam, mengekalkan pencapaian di pusingan pembukaan dengan melakukan enam di bawah par 65 untuk mengumpul keseluruhan 13 di bawah par 129 selepas bebas daripada melakukan sebarang bogey di Four Season Golf & Sports Club di Lake Buena Vista, Florida.

Nelly Korda yang juga pemain keempat dunia berada di kedudukan kedua selepas mengumpul 131 pukulan, manakala penyandang juara, Gaby Lopez dari Mexico dan Chun In Gee (Korea Selatan) berkongsi kedudukan ketiga selepas mencatatkan 133 pukulan.

Danielle yang memulakan aksi dengan kelebihan satu pukulan, membuka saingan dengan birdie dan melakukan perkara sama di lubang keempat.

Dia juga berjaya membenam birdie di lubang kesembilan dan ke-10 buat hari kedua berturut-turut.

Selepas melakukan dua lagi birdie pada lubang ke-16 dan 17, Danielle menutup saingan dengan menyamai par di lubang terakhir.

Sementara itu, Nelly yang lima tahun lebih muda dari kakaknya, Jessica melakukan birdie di lubang keempat namun satu-satunya bogey di lubang keenam menjejaskan jumlah pukulannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 11:57 AM