SUNG Jae berjaya mendahului pusingan kedua American Express. FOTO AFP
SUNG Jae berjaya mendahului pusingan kedua American Express. FOTO AFP
AFP

Los Angeles: Pemain golf Korea Selatan, Im Sung Jae yang muncul naib juara Masters tahun lalu berjaya mengelak daripada melakukan sebarang bogey dengan berjaya mencatatkan tujuh di bawah par 65 untuk mendahului satu pukulan di pusingan kedua American Express Jelajah PGA Amerika Syarikat (AS).

Bintang Asia berusia 22 tahun itu mengumpul 11 di bawah par 133 di West in La Quinta, California, dalam saingan yang menggunakan lapangan Nicklaus dan Stadium.

"Saya rasa putt pada jarak pertengahan saya sangat menjadi. Saya banyak menghasilkan putt jarak pertengahan dan ia membawa saya untuk mencatat keputusan yang baik," kata Sung Jae.

Seorang lagi pemain Korea Selatan, Kim Si Woo, wakil Kanada, Nick Taylor dan Abraham Ancer dari Mexico serta pendahulu pusingan pertama Brandon Hagy berkongsi di kedudukan kedua dengan 134 pukulan.

Francesco Molinari dari Itali, Doug Ghim (AS) dan pemain Argentina, Emiliano Grillo ketinggalan satu pukulan di belakang.

Sung Jae yang memulakan pukulan sembilan lubang dari belakang di Lapangan Stadium, mencatat birdie pada lubang ke-12, 13 dan 18 dengan ketiga-tiganya melalui putt pada jarak pertengahan.

"Saya bergelut dengan putt sebelum ini, jadi saya bekerja keras untuk memperbaiki kelemahan itu dan terutama pada saingan kedua," katanya.

Sung Jae yang juga Pemain Rookie Terbaik PGA 2019, memenangi jelajah pertama Mac lalu di Klasik Honda sebelum saingan dihimpit pandemik Covid-19.

Dia menduduki tempat kedua di belakang Dustin Johnson dalam saingan Masters sulung November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 3:15 PM