JUN Hoong antara penerjun negara sertai Piala Dunia FINA 2021. FOTO Aizuddin Saad
JUN Hoong antara penerjun negara sertai Piala Dunia FINA 2021. FOTO Aizuddin Saad
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bekas juara dunia, Cheong Jun Hoong adalah antara penerjun Malaysia yang akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA 2021 yang akan berlangsung dari 18 sehingga 23 April di Pusat Akuatik Tokyo, Jepun.

Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Mae Chen berkata, selain pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu, MAS juga akan menghantar skuad yang kuat ke Piala Dunia itu, yang menjadi kejohanan sesi kelayakan terakhir ke Olimpik Tokyo 2020 pada Julai.

Beliau berkata, pemilihan terakhir penerjun lain untuk kejohanan itu akan ditentukan Ketua Jurulatih Terjun Kebangsaan Christian Brooker.

"Skuad terjun negara pada masa kini, sedang menjalani latihan secara dalam kuarantin sejak beberapa minggu lalu di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil," katanya kepada Bernama hari ini.

"Semua yang berlatih di Bukit Jalil sudah menjalani ujian swab Covid-19 sebelum meneruskan latihan mereka, dan kesemua mereka disahkan negatif," kata Mae Chen.

Jon Hoong menyertai Kejohanan Terjun Antarabanga Malaysia Secara Maya yang pertama di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, bulan lalu, dan itu adalah kejohanannya yang pertama sejak Mei 2018.

Penerjun kelahiran Perak itu kali terakhir menyertai kejohanan pada pusingan akhir Siri Terjun Dunia di Kazan, Rusia pada Mei 2018, di mana beliau memenangi pingat gangsa dalam acara 10 meter platform seirama bersama seorang lagi penerjun negara Pandalela Rinong.

Sejak itu Jun Hoong sudah menjalani rehabilitasi sejak menarik diri daripada Sukan Asia Indonesia pada Ogos 2018 untuk menjalani pembedahan kecederaan lututnya.

Sementara itu Mae Chen mendedahkan yang MAS tidak bercadang untuk menghantar penerjun negara untuk meneruskan latihan mereka di China sebelum penyertaan di Sukan Olimpik Tokyo 2020, disebabkan peningkatan mendadak Covid-19, sejak beberapa bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 9:03 PM