SARUNG tangan yang dilelong AJ. FOTO AJ
SARUNG tangan yang dilelong AJ. FOTO AJ
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Demi sahabat segalanya sanggup dikorbankan.

Perkara terbabit dilakukan peninju profesional sukan seni tempur campuran (MMA) AJ 'Pyro' Lias Mansor apabila mengambil keputusan besar dalam hidupnya menjual sarung tangan kesayangan baru-baru ini.

Bukanlah satu keputusan mudah kerana sarung tangan 'bertuah' itu dimenanginya pada kejohanan ONE Championship, namun terpaksa dilakukan bagi membantu dua rakan baiknya dikenali sebagai Jerome dan Malan yang kini koma di hospital.

AJ ketika dihubungi Arena Metro mengesahkan dia sememangnya melelong sarung tangan kesayangannya itu sejak tiga hari lalu dengan nilai bidaan terkini adalah RM4,000.

Menurutnya, keputusan itu diambil memandangkan hanya dengan cara terbabit boleh memperoleh wang segera bagi membantu Malan yang menghidap strok manakala Jerome pula masih lagi bertarung nyawa selepas terbabit kemalangan baru-baru ini.

"Ketika ini ramai yang susah, malah saya juga terkena tempias apabila menghadapi masalah kewangan berikutan gim di Kota Kinabalu, Sabah terpaksa ditutup dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Dua rakan baik saya memerlukan dana berjumlah ratusan ribu ringgit bagi menampung kos rawatan menyebabkan saya mengambil keputusan menjual sarung tangan paling disayangi.

"Hasil daripada lelongan itu iaitu 80 peratus akan diberikan kepada rakan manakala 20 peratus lagi digunakan untuk membeli makanan dan keperluan kucing," katanya yang gemar membantu dan memelihara kucing jalanan.

Selain itu, atlet berusia 45 tahun itu berkata, walaupun dua rakannya itu tidak mempunyai pertalian darah, namun mereka seperti adik beradik dan sudah mengenali sejak 20 tahun lalu.

"Jerome kerap membantu saya sejak masing-masing menuntut di universiti malah dia kerap memberi wang saku kerana mengetahui saya bukanlah datang daripada keluarga senang.

"Malan pula bersama saya ketika bermain ragbi dan berita yang menimpanya itu cukup memberi kesan apabila mengetahui dia sekarang ini koma," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 10:12 PM