WELSON ketika beraksi di Sukan SEA Filipina. FOTO NSTP
WELSON ketika beraksi di Sukan SEA Filipina. FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Penularan pandemik Covid-19 mungkin menjejaskan penganjuran acara sukan dan impian ramai atlet, namun tidak buat perenang negara Welson Sim yang masih teguh dengan sasarannya untuk layak ke Sukan Olimpik buat kali kedua.

Pelbagai langkah diambil oleh pihak berkuasa seluruh dunia untuk mencegah pandemik itu hingga menyebabkan banyak kejohanan renang terpaksa dibatalkan namun Welson menyambut baik keputusan yang dibuat.

Bagi atlet kelahiran Kuching, Sarawak itu, beliau menyedari sekatan yang dikenakan termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan adalah demi keselamatan kesihatan dan kebajikan atlet.

Bagaimanapun, Welson sedar beliau tetap perlu melakukan persiapan biarpun tanpa ke kolam renang, demi mengekalkan fokusnya untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo pada Julai ini.

"Sebelum ini kami tidak dapat beraksi di kolam renang beberapa bulan, jadi, saya rasa kita harus mengoptimumkan masa yang ada untuk memperbanyakkan latihan. Saya memanfaatkan sepenuhnya masa ini untuk mencapai tahap kecergasan terbaik yang saya harapkan dan akhirnya berjaya dalam kejohanan kelayakan.

"Saya rasa kita tidak kekurangan apa-apa perkara yang penting disebabkan pembatalan ini kerana ia memberi kita lebih banyak masa untuk terus berusaha dalam latihan.

"Setiap kali acara renang dibatalkan, kami sering mengadakan ujian masa yang memberi kami idea mengenai tahap prestasi kami walaupun tidak rasmi," katanya.

Atlet berusia 23 tahun yang membuat penampilan sulungnya ke temasya berprestij dunia itu pada edisi 2016 d9 Rio de Janeiro berkata beliau berada dalam keadaan yang baik serta bersedia untuk tampil dalam kempen kelayakan ke Tokyo.

Demi mencapai impiannya untuk ke Tokyo, Welson berkata beliau menjalani antara 10 hingga 12 sesi latihan di kolam renang dan latihan berasaskan gim sebanyak tiga kali seminggu.

Welson yang meraih 12 pingat termasuk tiga emas di temasya Sukan SEA, adalah antara kumpulan lapan atlet yang menjalani kem latihan secara kuarantin di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.

Persatuan Renang Malaysia (MS) pada Ahad lalu mengesahkan pembatalan Kejohanan Renang Jemputan Peringkat Umur Malaysia ke-57 yang juga kelayakan ke Sukan Olimpik yang dijadual pada 4-7 Mac berikutan lanjutan PKP.

TAG: welson sim, olimpik tokyo, kejohanan jemputan peringkat umur malaysia ke-57, kelayakan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 2:27 PM