PELUANG Quartararo lebih cerah untuk muncul juara dunia. FOTO AFP
PELUANG Quartararo lebih cerah untuk muncul juara dunia. FOTO AFP
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala lumpur: Bukan satu tetapi dua pelumba PETRONAS Yamaha SRT masih berpeluang untuk memenangi kejuaraan dunia MotoGP sekali gus mampu melakar sejarah untuk pasukan negara.

Ia selepas Franco Morbidelli muncul juara Grand Prix Teruel semalam yang juga kemenangan kedua musim ini untuk membolehkannya menduduki tempat keempat kedudukan pelumba MotoGP dengan mengumpul 112 mata, ketinggalan 25 mata berbanding pendahulu Joan Mir yang mengumpul 137 mata.

Peluang lebih cerah untuk seorang lagi pelumba pasukan itu, Fabio Quartararo yang menduduki tangga kedua dengan meraih 123 mata, hanya 14 mata memisahkannya dengan Mir.

Prinsipal pasukan PETRONAS Yamaha SRT, Datuk Razlan Razali berkata, dengan berbaki tiga pusingan perlumbaan, peluang masih cerah untuk kedua-dua pelumbanya merebut kejuaraan dunia.

"Franco mempamerkan aksi terbaiknya. Saya sangat gembira dengan pencapaiannya, begitu juga pasukan yang melakukan tugas dengan cemerlang.

"Dia kini kembali bersaing merebut kejuaraan dunia dengan hanya berbaki tiga pusingan dan hanya ketinggalan 25 mata daripada pendahulu. Jentera nampak baik dan dia juga dilihat selesa mengendalikannya," katanya.

Jelas Razlan, pihaknya perlu perlu menganalisa dan melihat bagaimana untuk memperbaiki jentera Quartararo selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan kelapan semalam.

"Kami perlu duduk dan melihat bagaimana untuk meraih keputusan terbaik pada baki tiga pusingan lagi. Dia (Fabio) hanya ketinggalan 14 mata daripada pendahulu dan masih banyak lagi mata yang ditawarkan pada perlumbaan seterusnya.

"Saya sangat menantikan keputusan tiga pusingan terakhir musim ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 3:02 PM