HAFIZH Syahrin belum mahu dedahkan pasukan baharunya. FOTO Inde Aspar
HAFIZH Syahrin belum mahu dedahkan pasukan baharunya. FOTO Inde Aspar
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah masih berahsia berhubung masa depannya di Kejohanan Motosikal Dunia musim depan.

Meskipun pengurusnya, Razmin Masli Abdul Razak sebelum ini menyatakan Hafizh akan meneruskan karier di Moto2 musim depan, namun pelumba yang mendapat gelaran El Pescao itu masih mengunci mulut.

"Untuk musim depan saya masih berbincang dengan satu dua pasukan. Insya-Allah, kalau ada rezeki, saya akan berada lagi di Moto2. Apapun, saya akan buat yang terbaik untuk baki tiga pusingan perlumbaan lagi. Saya sudah jumpa rentak bagaimana hendak melakukan pelarasan yang baik untuk jentera Speed Up," katanya ketika dihubungi.

Hafizh berkata, penamat ke-13 di Grand Prix Teruel semalam selepas bermula di petak ke-20 memberi lebih keyakinan kepadanya untuk menamatkan baki perlumbaan musim ini.

"Jika saya dapat bermula di kedudukan lebih baik pada sesi kelayakan, mungkin saya boleh mendapat penamat lebih baik. Untuk perlumbaan seterusnya di Valencia (8 November), kami akan menggunakan segala data yang diperolehi dari Aragon untuk mendapat keputusan lebih baik," katanya.

Selepas 12 pusingan, Hafizh yang beraksi bersama pasukan Aspar, kini meraih 21 mata untuk menduduki tangga ke-20 kedudukan pelumba Moto2.

Seorang lagi pelumba negara di Moto2, Kasma Daniel Kasmayudin yang beraksi bersama ONEXOX TKKR SAG Team gagal menamatkan perlumbaan selepas terjatuh di selekoh pertama pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 6:15 PM