NAZIM bersama trofi kemenangan F3 di Donington Park.
NAZIM bersama trofi kemenangan F3 di Donington Park.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pelumba negara, Nazim Azman meraih kemenangan kedua musim ini di perlumbaan kedua British Formula 3 (F3) di Donington Park semalam selepas mendominasi saingan dari awal perlumbaan.

Nazim yang beraksi bersama pasukan Carlin, mengatasi pelumba pasukan Double R's, Benjamin Pedersen manakala Ulysse De Pauw meraih podium ketiga bersama Douglas Motorsport.

Nazim bermula baik apabila apabila cemerlang mencatat masa terpantas untuk menjarakkan kedudukan dengan pelumba lain.

Bermula di pusingan ke-10, Nazim dilihat terus selesa menjarakkan kedudukan tanpa menerima cabaran daripada pencabar terdekat, Pedersen.

"Permulaan saya agak baik sehingga berjaya mendahului pelumba lain dengan agak selesa. Selepas itu saya hanya mengekalkan aksi konsisten sehingga ke garisan penamat.

"Terima kasih kepada semua terutama pasukan yang bekerja keras selepas kita tidak dapat meraih keputusan yang dimahukan pada sesi kelayakan," katanya.

Selepas 21 perlumbaan, Nazim kini menduduki tangga kelima kedudukan keseluruhan pelumba dengan mengumpul 331 mata, kurang 89 mata berbanding pendahulu, Kaylen Frederick (Carlin) yang mengumpul 420 mata.

Saingan seterusnya dan terakhir akan berlangsung di Silverstone pada 7 dan 8 November depan yang membabitkan tiga perlumbaan.

British F3 sebahagian saingan peringkat awal untuk menuju ke pentas Formula Satu (F1).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 9:12 PM