LEWIS Hamilton. FOTO AFP
LEWIS Hamilton. FOTO AFP

Imola, Itali: Masih segar dengan rekod kemenangan ke-92 dalam kariernya Ahad lalu, Lewis Hamilton sekali lagi menjadi tumpuan hujung minggu ini dengan Mercedes memburu rekod kejuaraan ketujuh di Grand Prix Emilia Romagna.

Di sebalik menggalas misi pasukan, masa depan Hamilton menjadi tanda tanya susulan keputusan sebulat suara semua 10 pasukan pada Isnin lalu untuk menyokong had gaji siling bermula 2023.

Juara dunia enam kali itu tamat kontrak hujung musim ini dengan langkah penjimatan kos bakal memberi kesan ke atas rundingan dengan Mercedes yang pasti mahu mengekalkannya.

Pasukan menegaskan mereka menganggap Hamilton aset penting kepada jenama mereka selain sukan F1 semakin mendapat tempat di kalangan generasi muda.

Hamilton dijangka memulakan rundingan kontrak baharu tiga tahun selepas Mercedes melengkapkan kemenangan ketujuh. Dia dan ketua pasukan, Toto Wolff berkata, mereka berhasrat terus kekal bersama Mercedes tahun depan.

Cadangan had gaji siling itu dipersetujui selepas rundingan bersama Suruhanjaya Formula Satu pada Isnin lalu dan pelan itu bakal disahkan Majlis Sukan Permotoran Dunia.

Wolff berkata dia lebih suka mengelakkan penangguhan kontrak jangka panjang selain tidak bersetuju dengan kontrak lanjutan setahun.

"Covid mengubah cara kami bisnes dan saya fikir semuanya perlu dilakukan tahun ini,'' katanya.

"Saya tak mahu terbabit sebarang rundingan pada pertengahan tahun depan dan kemudiannya dilanjutkan lagi.

"Kita semua perlu fokus kepada kerja - Lewis memandu dan saya menguruskan pasukan."

Ketika F1 kembali ke Autodromo Enzo e Dino Ferrari buat pertama kali dalam masa 14 tahun, Mercedes hanya perlukan 11 mata lagi untuk mengesahkan gelaran dunia ketujuh berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 11:42 AM