PASUKAN Mercedes meraihkan kejayaan Hamilton di GP Turki sekali gus menobatkan juara keseluruhan buat kali ketujuh. FOTO Agensi
PASUKAN Mercedes meraihkan kejayaan Hamilton di GP Turki sekali gus menobatkan juara keseluruhan buat kali ketujuh. FOTO Agensi
AFP

Istanbul: Lewis Hamilton meraih kejuaraan keseluruhan Formula Satu (F1) buat kali ketujuh selepas muncul juara di Grand Prix (GP) Turki sebentar tadi.

Pelumba Mercedes itu menyamai rekod legenda F1, Michael Schumacher walaupun masih berbaki tiga perlumbaan untuk ditamatkan musim ini.

Schumacher melakukan rekod berkenaan pada 2004, sebelum Hamilton meraih kejuaraan keseluruhan pertamanya empat tahun kemudian, dalam penampilan keduanya di perlumbaan F1.

Bagaimanapun, dia perlu menunggu enam tahun untuk merangkul kejuaraan kedua, selepas dia berpindah dari McLaren ke Mercedes.

Penghijrahan itu membolehkannya meraih dua kali kejuaraan secara berturut-turut pada 2014 dan 2015.

Dia kehilangan takhta berkenaan pada 2016 selepas dirampas oleh rakan sepasukan, Nico Rosberg dengan kelebihan lima mata, namun selepas pelumba berkenaan bersara, Hamilton berjaya menambah empat lagi kejuaraan.

Schumacher juga meraih tujuh kejuaraan bersama dua pasukan berbeza.

Dia meraih kejuaraan berturut-turut pada 1994 dan 1995 bersama Benetton, sebelum berhijrah ke Ferrari.

Selepas beberapa kali terlepas kejuaraan di hujung 90-an, Schumacher berjaya meraih lima kejuaraan berturut-turut dari 2000 hingga 2004, mengatasi rekod juara lima kali, Juan Manuel Fangio.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 8:11 PM