KECEDERAAN Marquez semakin pulih.
KECEDERAAN Marquez semakin pulih.
AFP

Madrid: Juara dunia enam kali MotoGP, Marc Marquez optimis dapat kembali pulih daripada kecederaan patah tangannya yang mengakibatkan dia terlepas aksi musim lalu namun berkata dia tidak merancang untuk cuba memenangi kejuaraan tahun ini.

"Sasaran saya adalah untuk menunggang semula dan sedikit demi sedikit kembali sepantas yang saya boleh," kata Marquez.

"Apa yang anda harus faham adalah bahawa anda tidak boleh mengharapkan sesuatu yang baik selepas 10 bulan tidak menunggang dan tampil pada perlumbaan pertama menjadi Marc yang sama.

"Ini adalah kali pertama dalam tempoh yang lama saya tidak menunggang motosikal dan saya tidak tahu apa yang akan terjadi di selekoh pertama nanti tapi saya tahu ia tidak akan 100 peratus."

Marquez mengalami kecederaan patah tangan kanan pada 19 Julai apabila terjatuh ketika beraksi di Grand Prix pertama musim lalu yang mana kecederaan itu memerlukan tiga pembedahan dan yang terakhir pada Disember lalu.

"Tulang kini semakin sembuh dengan baik," kata Marquez.

Dia kembali berlatih pada awal Februari lalu dan positif terhadap proses pemulihannya tetapi tidak menetapkan bila dia akan kembali berlumba.

"Saya ikut tubuh saya," katanya yang akan beraksi bersama rakan senegara, Pol Espargaro yang berhijrah dari KTM.

"Harapan saya adalah kembali ke sisi ujian di Qatar (6 hingga 12 Mac) tapi doktor memberi tahu saya untuk melupakannya dan sekarang ini adalah cuba untuk sasarkan kembali berlumba di Qatar (28 Mac)."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 1:53 PM