PESERTA menyusun permainan.
PESERTA menyusun permainan.
SEBAHAGIAN peserta yang mengikuti program.
SEBAHAGIAN peserta yang mengikuti program.
PATUNG antara kaedah mengatasi tekanan.
PATUNG antara kaedah mengatasi tekanan.
Fazurawati Che Lah


Tugasan akademik yang tertangguh, konflik hubungan dengan rakan sebilik atau sekuliah dan masalah kewangan antara situasi yang sering dialami penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) hingga mendatangkan tekanan emosi.

Dalam kalangan pelajar baru pula, mereka cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan baru di kampus iaitu berhadapan dengan persekitaran, rakan dan jadual pembelajaran baru.

Faktor ini mungkin menyumbang kepada stres yang menjadi lumrah dalam kehidupan manusia.

Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menunjukkan tekanan perasaan bakal menggantikan penyakit kardiovaskular sebagai faktor penentu utama sama ada seseorang itu masih mampu untuk terus bekerja atau sebaliknya.

Sementara itu, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 menunjukkan kira-kira 4.2 juta rakyat Malaysia yang berusia 16 tahun ke atas atau 29.2 peratus populasi negara menghidap pelbagai masalah mental.

Ini adalah peningkatan sebanyak 11.2 peratus berbanding pada 2006.

Ramai pakar turut memberi amaran bahawa penyakit mental bakal menjadi masalah kesihatan kedua terbesar di Malaysia selepas penyakit jantung menjelang tahun 2020.

Peratusan kes daripada hasil kajian berkenaan yang secara relatifnya agak tinggi sudah pasti membimbangkan kita.

Perkara ini perlu ditangani segera supaya jumlah kes tidak terus meningkat hingga mengundang keadaan yang lebih serius.

Oleh itu, gejala kesihatan mental dalam kalangan remaja atau pelajar perlu ditangani dari awal.

Tekanan emosi sekiranya tidak diuruskan pada peringkat awal boleh menjadi parah dan seterusnya menular menjadi masalah mental.

Melalui satu bengkel bertaraf antarabangsa iaitu Play Therapy in Helping Profession by Licensed Therapist yang dianjurkan baru-baru ini, ia memperkenalkan kaedah terapi bermain sebagai salah satu kaedah rawatan untuk kanak-kanak, remaja dan dewasa.

Terapi bermain adalah salah satu kaedah intervensi yang efektif bagi seseorang individu untuk menurunkan atau mencegah kecemasan sebelum dan sesudah tindakan operatif.

Dapat difahami bahawa di dalam pengendalian sesi kaunseling atau intervensi bersama klien, terapi bermain adalah suatu kegiatan yang sangat penting untuk mengurangkan kesan emosi bagi pertumbuhan dan perkembangan anak selanjutnya.

Ketua Seksyen Psikoterapi dan Intervensi, Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia (BKUPM), Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, bermain juga mempunyai fungsi yang sangat luar biasa seperti perkembangan sensori motor, intelektual sosial, kreativiti, kesedaran diri dan perkembangan moral serta sahsiah.

Oleh itu, sebagai langkah menginstitusikan perkhidmatan kaunseling di Malaysia khususnya di pusat pengajian itu, BKUPM mengambil langkah proaktif untuk memperkembangkan satu lagi kaedah intervensi berbentuk terapi bermain kepada semua pengamal perkhidmatan profesional.

Beliau juga tidak menafikan bermain adalah unsur yang paling penting untuk perkembangan diri seseorang sejak kecil hinggalah menginjak dewasa.

“Terapi bermain ini sangat positif terhadap perkembangan fizikal, emosi, mental dan intelektual.

“Kajian mendapati kanak-kanak yang mendapat peluang bermain secara seimbang dan cukup akan menjadi orang dewasa yang mudah berteman, kreatif dan cerdas berbanding mereka yang ketika kecilnya kurang mendapat kesempatan bermain,” katanya.

Menurut Siti Fatimah, bermain juga adalah satu kegiatan yang dilakukan untuk keseronokan yang ditimbulkan dan dilakukan secara sukarela, tidak bergantung kepada usia tetapi bergantung kepada kesihatan dan ketenangan yang diperoleh.

Play Therapy in Helping Profession by Licensed Therapist menghimpunkan seramai 50 peserta daripada pelbagai bidang perkhidmatan termasuk kaunselor, guru tadika, badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, korporat dan persendirian.

Program itu dirancang secara eksklusif dan intensif dengan membawakan penampilan istimewa iaitu pakar khas dari Australia, Jospehine Martin.

Beliau adalah pengasas kepada Australasia Pacific Play Therapy Association (APPTA) serta Pengarah Play Therapy Northern Territory.

Menerusi bengkel intensif ini, setiap peserta berpeluang mempelajari ilmu terapi bermain secara teori dan praktikal.

Program ini disusun secara kreatif bagi memastikan peserta mendapat impak yang besar dan memahami konsep ini secara mendalam dan penuh penghayatan.

Sepanjang tiga hari itu, peserta diminta untuk menjalani latihan amali dalam kursus secara intensif.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2017 @ 4:06 PM