ABDUL Rasheed (tengah) bersama pemenang.
Fazurawati Che Lah


Tiga belas pemidato terbaik daripada industri kewangan negara dipilih untuk merebut piala pada Pertandingan Pidato antara Institusi Kewangan Piala Gabenor Bank Negara Malaysia (Pertandingan Pidato Piala Gabenor), baru-baru ini.

Jushua Meta Anak Nully daripada CIMB Bank Berhad muncul sebagai juara dengan menggondol Piala Gabenor BNM yang menjadi rebutan melalui tajuk pidatonya Skim Cepat Kaya: Mengapa Masih Ramai Yang Tertipu?

Tempat kedua disandang Abdul Hadi Abdul Apet daripada AIA Berhad, sementara tempat ketiga jatuh kepada Mohammad Akmal Shuib daripada CIMB Bank Berhad.

Pemenang Pertandingan Pidato Piala Gabenor 2017 menerima wang tunai RM5,000 untuk juara, RM3,000 tempat kedua dan RM2,000 tempat ketiga.

Mereka juga menerima piala, sijil penyertaan dan buku yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Melalui hujah yang dilontarkan selama tujuh minit, peserta menampilkan kuasa pujukan dan daya intelek yang tinggi untuk mengupas pelbagai isu kewangan.

Pertandingan pidato pada tahun ini berjaya menarik lebih ramai penyertaan dengan hampir 100 peserta berbakat daripada 29 institusi kewangan menyampaikan pidato pada peringkat saringan dua hari sebelumnya.

Antara tajuk pidato utama menjadi pilihan adalah Mengapa rakyat Malaysia masih terjebak dalam skim cepat kaya?, Fintech dan perkembangan dunia kewangan, Kewangan Islam dan Hala Tuju Masa Hadapan serta Insurans dan Takaful, Kehendak atau Keperluan.

Pertandingan pidato diserikan dengan kehadiran Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia Abdul Rasheed Ghaffour.

Ia dianjurkan dengan kerjasama DBP pada 2009, kini sudah sembilan tahun dipertandingkan.

Acara ini menjadi platform peserta industri kewangan berkongsi pandangan mengenai isu kewangan semasa.

Matlamat serampang dua mata acara ini adalah memupuk rasa bangga dan minat yang mendalam terhadap bahasa kebangsaan.

Melalui program seperti ini, penggunaan bahasa kebangsaan dalam komunikasi dengan pengguna sektor kewangan menjadi lebih mantap dan berkesan.

Selain memanfaatkan bakat dan kemahiran pekerja institusi kewangan dalam bidang pengucapan awam dalam bahasa Malaysia.

Sejak dipertandingkan, ia berjaya menarik penyertaan 450 peserta daripada lebih 30 institusi kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 2:05 PM