KEJURUTERAAN elektrik turut menjadi pilihan pelajar perempuan. - Gambar hiasan
KURSUS mekanikal turut ditawarkan. - Gambar hiasan
PELAJAR di dalam kelas masakan.
PELAJAR tekun menggubah hiasan pada tembikai.
TURUT terbabit dengan pertandingan fesyen.
PELAJAR KVERTS yang memenangi pertandingan jubah konvo.
PELBAGAI kemenangan diraih pelajar KVERTS.
Fazurawati Che Lah


Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia dianggarkan 90 peratus atau 2,045 daripada 2,273 graduan dari 15 kolej vokasional (KV) rintis yang menamatkan pengajian pada Ogos tahun lalu berjaya memperoleh pekerjaan mengikut bidang dipelajari.

Sementara itu, 41.74 peratus daripada 12,997 pelajar KV bagi kohort 2013 sudah bekerja dan pencapaian ini menunjukkan mereka mempunyai kemahiran dan diiktiraf pihak industri.

Pencapaian ini sekali gus membuktikan lulusan KV mendapat permintaan tinggi dalam kalangan industri.

Malah baru-baru ini, Kementerian Pendidikan mengumumkan sembilan Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara bakal bertukar status kepada KV atau politeknik sepenuhnya pada 2020.

Ini jelas membuktikan usaha itu menjadi sebahagian daripada transformasi Kementerian Pendidikan untuk mentransformasikan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan menambahkan kapasiti ruang latihan.

Ini meningkatkan enrolmen pelajar bagi memilih bidang TVET sebagai bidang pilihan belajar dan bekerja.

Menurut Dekan Fakulti Teknikal dan Vokasional Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Ridzwan Che Rus, strategi itu selaras dengan usaha kerajaan melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) untuk memanfaatkan segala kemudahan yang ada untuk rakyat Malaysia.

Oleh itu, katanya usaha transformasi IPG kepada Kolej Vokasional perlu dilihat secara positif bagi meyemarakkan bidang TVET di negara ini.

Jelasnya, isu teknikal seperti perpindahan pensyarah IPG ke agensi kementerian lain adalah isu kecil yang boleh di selesaikan dengan mudah oleh Kementerian Pendidikan.

“Selama ini kita sangat bergantung kepada tenaga kerja asing tidak berkemahiran dan separa mahir sehingga menyebabkan masalah lain muncul seperti masalah jenayah.

“Graduan Kolej Vokasional sebenarnya boleh mengisi ruang pekerjaan yang ditinggalkan pekerja asing ini dalam pelbagai sektor seperti pembinaan, pertanian, perkhidmatan dan pelancongan.

“Tapi graduan Kolej Vokasional juga perlu berani berubah untuk mengisi ruang pekerjaan kerana jika tidak kita membangunkan negara siapa lagi yang akan buat?

“Walaupun isu pekerja tempatan yang kurang berminat dengan kerjaya yang kotor, berbahaya dan sukar tapi seperti saya katakan sebelum ini kalau tidak kita siapa lagi?,” katanya.

Namun, katanya majikan juga perlu memberikan gaji yang sesuai, dengan tahap kelayakan dan kemahiran graduan KV menerima diploma kerana jika tiada tarikan gaji yang baik maka agak sukar untuk graduan tempatan hidup dengan kos sara hidup pada masa kini.

Ridzwan berkata, kajian pasaran dan hubungan baik dengan pihak industri juga menjadikan graduan KV berdaya saing di pasaran kerja terbuka.

“Tahap pengetahuan dan kemahiran graduan Kolej Vokasional juga sangat tinggi dan memenuhi kehendak majikan.

“Mereka juga mempunyai kemahiran ‘lifelong learning’ untuk kekal dan berubah mengikut pasaran kerja dan teknologi yang berubah dengan pantas selaras Revolusi Industri 4.0.

“Pensyarah kolej vokasional yang dilahirkan dari universiti awam seperti Fakulti Teknikal dan Vokasional Universiti Pendidikan Sultan Idris juga dibekalkan kemahiran yang sesuai untuk mendidik pelajar kolej vokasional bagi menjadikan mereka graduan mempunyai kebolehpasaran tinggi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah KV Ekonomi Rumah Tangga Setapak (KVERTS) Fuzyah Abdullah berkata pandangan masyarakat khususnya ibu bapa berkenaan bidang vokasional yang menganggapnya Pendidikan Vokasional sebagai kelas kedua mesti diubah.

Jelas beliau, walaupun kebanyakan pelajarnya KV hanya memiliki Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), mereka berdaya saing di pasaran kerja terbuka.

Katanya, graduan KVERTS sudah membuktikan keupayaan apabila 66 peratus graduannya memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Ini pencapaian yang membanggakan kerana sasaran kementerian menetapkan 70 peratus mendapat kerja selepas tamat belajar.

“Dengan komitmen tenaga pengajar yang terlatih dan kerjasama dengan industri, sasaran itu akan dicapai,” katanya.

Katanya, pelajar vokasional mampu mengakomodasi ilmu dan kemahiran dipelajari dengan dunia keusahawanan kerana mereka dididik dan dilatih secara intensif dengan kemahiran ‘hands-on’.

“Mereka diterapkan dengan kemahiran kreatif dan inovatif menerusi setiap kursus dipelajari dan juga didedahkan dengan kursus keusahawanan sama ada menerusi kurikulum ataupun kokurikulum.

“Pakej lengkap ini sangat bertepatan dengan objektif KV untuk untuk melahirkan 10 peratus usahawan, 20 peratus melanjutkan pelajaran dan 70 peratus memasuki pasaran pekerjaan berkaitan pengetahuan dan kemahiran teknikal tahap sederhana dan tinggi,” katanya.

Baru-baru ini, KVERTS turut memenangi pertandingan International Beuty Ekpo (IBE) yang berlangsung di Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) dan Penang International Halal Chefs Challenge 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 1:34 PM