KAKITANGAN UTM ketika menjalankan pembinaan vortex hidro.
PUSARAN air yang laju ketika percubaan vortex hidro.
STRUKTUR binaan Vortex Hidro.
DR Asan menunjukkan objektif projek Vortex hidro.
Fazurawati Che Lah


Mereka hidup agak terasing dari dunia luar yang serba moden.

Cara hidup Orang Asli daripada Suku Semai yang mendiami Kampung Pos Lemoi, Cameron Highlands kelihatan serba ringkas.

Persekitaran dan kehidupan memang cukup mendamaikan. Mereka tetap tersenyum gembira, tenang dan tidak terkejar-kejar memikirkan pelbagai masalah seperti kebanyakan penduduk yang tinggal di bandar.

Kunjungan penulis bersama warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke kampung yang dihuni sejak lebih 60 tahun lalu itu mendapati ia masih belum menerima kemudahan untuk hidup selesa.

Seramai 246 penduduk Orang Asli itu tiada bekalan elektrik dan sumber air bersih.

Terletak 25 kilometer (km) dari jalan utama Ringlet, keperitan hidup Orang Asli di kampung itu mendapat perhatian daripada penyelidik UTM untuk melaksanakan penjanaan kuasa hidroelektrik ke penempatan mereka.

Projek dikenali Intergrasi Vortex Hidro dan Aktiviti Ekonomi Masyarakat Orang Asli berupaya membekalkan kira-kira 5 kilowatt (kW) kuasa hidroelektrik dari sungai berdekatan untuk dinikmati 40 rumah keluarga.

Ketua Projek, Pico Hidro Elektrik Pos Lemoi Cameron Highlands, Profesor Dr Asan Ali Golam Hassan berkata, projek mesra alam sekitar itu yang dimulakan pada November tahun lalu bakal dinikmati masyarakat Orang Asli, awal Oktober ini.

Katanya, teknologi vortex digunakan kerana kos yang rendah, tidak mencemarkan alam sekitar, mudah untuk diselenggara dan tanpa kos.

Menurutnya, bagi tujuan itu, sebuah empangan dibina bagi menyalurkan air ke dalam saluran yang dibina bagi memasuki basin khas untuk memutarkan turbin yang boleh menjana tenaga elektrik 24 jam sehari.

Katanya, program Integrasi Vortex Hidro dan Aktiviti Ekonomi Masyarakat Orang Asli adalah inisiatif kerjasama UTM di bawah Program Transformasi Luar Bandar, Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Ke-4.

Katanya, kerja pembinaan vortex hidro sudah mencapai 90 peratus dan bakal disempurnakan penghujung bulan ini melalui pendawaian elektrik dan memasang turbin hidro.

Katanya, melalui peruntukan RM92,850 daripada Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi itu, vortex hidro akan disalurkan sejauh 350 meter ke kampung itu.

Jelas beliau, projek itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial UTM yang dilaksanakan secara kerjasama dengan lain-lain agensi Kerajaan Pusat, negeri dan badan bukan kerajaan.

“Program ini adalah projek komuniti yang memberi penekanan kepada faktor alam sekitar, ekonomi, sosial, teknologi dan pendidikan.

Malah turut membabitkan pemindahan teknologi berasaskan kesukarelawan berimpak tinggi, mapan dan dapatan hasil yang segera dengan kos yang murah.

“Ia juga adalah projek vortex hidro pertama di perkampungan Orang Asli di Malaysia yang mesra alam sekitar,” katanya.

Projek itu membabitkan seramai 21 penyelidik dari Pusat jaringan Komuniti dan Industri serta International Business School dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan Awam dan Pusat Kursus Umum dan Kokurikulum UTM turut disertai penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sementara itu, seramai 70 sukarelawan dan penduduk tempatan berada di Kampung Pos Lemoi bagi membantu dalam kerja memasang vortex hidro dan pendawaian elektrik yang dilaksanakan Julai lalu.

Dr Asan Ali berkata, tiga lawatan kerja diadakan di Pos Lemoi bagi mendapatkan profil sungai, kampung dan lokasi projek.

“Sumber air utama ialah dari sungai berdekatan. Melalui kajian profil sungai ke atas kederasan air, keupayaan tenaga hidro elektrik yang terhasil dianggarkan 5 kW termasuk pada musim kemarau.

“Elektrik yang bakal disalurkan adalah 24 jam dan Orang Asli bakal menikmatinya dengan selesa,” katanya.

Jelasnya lagi, projek itu akan membabitkan dua fasa, fasa pertama ialah membangunkan vortex hidro bagi menyediakan kemudahan elektrik untuk dewan, pusat komuniti, klinik, surau, rumah tok batin dan lampu jalan.

Sementara fasa kedua ialah membangunkan projek ekonomi komuniti hasil dapatan elektrik iaitu program aktiviti penternakan, ikan air tawar dan tanaman kontan.

“Bagi fasa kedua, beberapa program dilaksanakan termasuk menubuhkan Koperasi Pos Lemoi, memberi latihan pentadbiran koperasi, perniagaan dan membantu dalam aktiviti pemasaran.

“Kita juga akan mengenal pasti prospek ecopelancongan dan memberi latihan penjagaan ternakan atau tanaman dan menyediakan baja serta makanan ternakan kompos organik,” katanya.

Sementara itu, Tok Batin Pos Lemoi, Zainal Bahsiapa berkata, selaku ketua untuk penduduk Orang Asli kampung itu, beliau gembira dengan pelaksanaan projek vortex hidro.

Selama ini penduduk Orang Asli bergantung kepada generator dan bekalan tenaga solar untuk mendapatkan bekalan elektrik sejak 11 tahun lalu.

“Banyak masalah dihadapi melalui tenaga solar antaranya baterinya yang tidak tahan lama dan mudah rosak.

“Kebanyakan Orang Asli yang mampu, mereka guna generator tapi ia tidak bertahan lama kerana menggunakan petrol, paling lama lima hingga enam jam saja.

“Untuk satu malam bagi tempoh lima atau enam jam, kos yang perlu dikeluarkan kira-kira RM10 untuk petrol. Dengan pendapatan yang tidak seberapa, kami tidak mampu untuk keluarkan kos sebanyak itu,” katanya.

Tambahnya, kesukaran untuk keluar dari penempatan yang mengambil masa hampir dua jam dan melalui lereng bukit turut merumitkan keadaan penduduk termasuk dua lagi perkampungan Orang Asli berdekatan iaitu Kampung Terlimau dan Kampung Cenang Cerah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2017 @ 1:43 PM