SEBAHAGIAN pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Muar mendengar ceramah Ustaz Abdullah Khairi sempena Karnival CSR MRSM Muar, baru-baru ini.

Bagi mengasah bakat kepemimpinan selain membina sahsiah terpuji termasuk berkebolehan menguruskan acara tanpa bergantung sepenuhnya kepada guru, pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar, Johor mengadakan Karnival CSR MRSM Muar, baru-baru ini.

Timbalan pengetuanya, Arifin Abu Bakar berkata, karnival berkenaan adalah sebahagian tanggungjawab sosial yang cuba diterapkan dalam kalangan 2,000 pelajar sekolah berkenaan supaya lebih dekat di hati masyarakat.

Beliau berkata, karnival pertama seumpamanya diadakan secara besar-besaran itu membabitkan semua pelajar selain turut menjemput wakil pelajar dari sekolah berdekatan.

“Program ini julung kali diadakan secara besar-besaran kerana sebelum ini pelajar dan guru hanya mengadakan satu program dalam satu masa dengan penyertaan minimum.

“Kali ini, pelbagai acara disusun dan dikelolakan sepenuhnya pelajar bermula dari pagi hingga malam.

“Selain mereka turut menabur bakti melakukan khidmat sosial kepada komuniti setempat seperti membersihkan jejantas usang berhampiran sekolah ini,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Hadir sama, wakil utama penaja program berkenaan Pengurus Bank Islam Cawangan Muar, Mohd Radhi Omar.

Arifin berkata, pihaknya merancang untuk menganjurkan lagi program berkenaan pada masa depan termasuk pembabitan MRSM berdekatan seperti di Batu Pahat, Pontian dan sekitarnya.

Pada karnival itu, pelbagai acara diadakan bermula dengan persembahan Maktab Teknik Polis Diraja Muar, Jabatan Bomba dan Penyelamat Muar, memanah, qasidah, nasyid, tayangan video dan program kerohanian dikelolakan Ustaz Abdullah Khairi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 2:56 PM