PESERTA bergambar bersama juri dan tetamu jemputan selepas cabaran berakhir.
Fazurawati Che Lah

Cabaran Kelab TaHa STEM Innovation Challenge 2018, sudah sampai ke penghujungnya dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Mersing, Johor dinobatkan sebagai johan keseluruhan peringkat kebangsaan.

Dalam cabaran terakhir yang diadakan di Dewan Gemilang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor, baru-baru ini, dua sekolah iaitu Sekolah Menengah Sains Kuching, Sarawak dipilih sebagai naib johan sementara SMK Beaufort 3, Sabah pula tempat ketiga.

SMK Sri Mersing yang mewakili Zon Selatan menewaskan 25 sekolah lain yang turut bersaing mewakili zon masing-masing iaitu utara, tengah, timur, Sabah dan Sarawak.

Menerusi kemenangan itu, mereka membawa pulang wang tunai RM3,000, sijil dan trofi. Sekolah Menengah Sains Kuching dan SMK Beaufort 3 masing-masing membawa pulang RM2,000 dan RM1,000 bersama sijil serta trofi.

Hadiah disampaikan Ketua Pegawai Sumber Manusia Tabung Haji, Mohd Hisham Harun yang turut merasmikan upacara penutupan pertandingan yang dianjurkan sejak awal tahun itu.


DR Sheikh Muszaphar bersama penganjur dan juri program.

Majlis turut dihadiri Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat UKM, Prof Datuk Dr Imran Ho Abdullah serta Dekan Fakulti Pendidikan UKM, Prof Datuk Dr Norazah Mohd Nordin.

Majlis turut dihadiri angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor yang turut berkongsi tip dengan peserta program peringkat akhir itu.

Kelab TaHa STEM Innovation Challenge adalah program intervensi pendidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk ahli Kelab Tabung Haji.

Pertandingan yang dianjurkan sejak tahun lalu itu bertujuan menjadikan pelajar lebih kreatif, inovatif dan berdaya saing dalam bidang STEM khususnya menjelang abad ke-21.


EMPAT peserta SMK Arau menunjukkan projek yang disiapkan mereka.

SMK Sri Mersing disertai Nurin Wahyu Rushdan, 14, Ilham Bukhari Zulkarnai, 13, Nur Hanis Safiah Ab Manaf, 13, dan Nursafiah Syahirah Razali, 14.

Nursafiah Syahirah berkata, kemenangan itu sangat bermakna bagi pasukan mereka kerana ia sesuatu yang tidak pernah dijangka.

Menurutnya, kesempatan mendengar sendiri tip dan maklumat daripada angkasawan negara memberi perangsang dan sangat berguna kepada semua peserta.

“Beliau mengingatkan peserta supaya mempunyai impian yang besar, berani, yakin, fasih berbahasa Inggeris dan belajar sebanyak mungkin ilmu untuk terus berjaya bagi menggapai impian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 12:12 PM