KOSTUM Inggeris mewujudkan suasana 'kampung' landskap Inggeris. FOTO Saddam Yusoff
Nas Norziela Nasbah

[email protected].

Bagi meningkatkan keyakinan pelajar berkomunikasi seharian dalam bahasa Inggeris, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan program ‘Bringing Real Activities Via English Hands-On Experience and Rewarding Tasks (BRAVE-HEARTs), baru-baru ini.

Timbalan Pengarah (Komunikasi) Pusat Citra Universiti (Citra UKM) Prof Madya Dr Zarina Othman berkata, program yang diadakan sejak 2014 itu berupaya menjadi aktiviti pembelajaran di luar bilik kuliah yang mampu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar universiti itu.

Beliau berkata, pelbagai aktiviti disediakan dengan memfokuskan pendekatan menyeronokkan, selain kesedaran mengenai fungsi bahasa Inggeris dan perbendaharaan kata yang dijadikan inti pati dalam program terbabit.


PERMAINAN dam ular dalam bahasa Inggeris cetuskan suasana ceria. FOTO Saddam Yusoff

Katanya, setiap pelajar mempunyai keunikan tersendiri, oleh itu, pembelajaran bahasa yang berkesan bergantung kepada minat mereka.

“Bagi seseorang mendalami atau menguasai bahasa Inggeris memerlukan tahap keyakinan diri tinggi, bukan sikap rendah diri kerana takut tersasul atau tersalah penggunaan tatabahasa yang menjadi faktor penghalang untuk fasih dalam bahasa antarabangsa itu.

“Di sinilah terletaknya tanggungjawab penganjur untuk meningkatkan keyakinan diri pelajar seterusnya menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa yang mudah digunakan walaupun di mana mereka berada,” katanya ketika ditemui di sini.


AKTIVITI kreatif turut disediakan pada program BRAVE-HEARTs 2018. FOTO Saddam Yusoff

Program BRAVE-HEARTs 2018 mengetengahkan konsep ‘immersion’ seperti ‘jika kami (guru) tidak dapat membawa anda ke England, kami akan bawa negara itu untuk anda’.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program itu berlangsung termasuk Sing It Right, Pitch It Right; Crossed Line dan Readers’ Theather.

Zarina berkata, turut menjadi amalan wajib setiap tahun adalah memperkenalkan konsep ‘Kampung Inggeris’ dengan memfokuskan pemahaman budaya dan fizikal Inggeris bertujuan membantu pelajar untuk merasai suasana sebenar berbahasa Inggeris.


SESI perbicaraan kes di ‘mahkamah’ turut mendapat perhatian pelajar untuk meningkatkan keyakinan berbahasa Inggeris. FOTO Saddam Yusoff

“Pendekatan ini diterapkan melalui pelajar yang perlu mewujudkan suasana ‘kampung’ dengan landskap bahasa Inggeris, rumah Inggeris; kafe, pasar dan pemakaian kostum Inggeris.

“Faktor efektif juga menjadi satu daripada aspek yang perlu dipertingkatkan di luar persekitaran pembelajaran formal sejajar dengan usaha Kementerian Pendidikan (KPM) meningkatkan kemahiran generasi muda dalam berbahasa Inggeris,” katanya.


LATIHAN pertolongan cemas turut disediakan untuk tingkatkan pengetahuan pelajar. FOTO Saddam Yusoff

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 7:00 AM