PESERTA dan pegawai UCTC UPM bergambar kenangan.
Hartini Mohd Nawi


Bagi meningkatkan kemahiran pelajar tahfiz dalam ilmu pertanian dan keusahawanan, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) Universiti Putra Malaysia (UPM) menjalankan program Transformasi Kemahiran Pertanian Komuniti Tahfiz.

Ia membabitkan 20 pelajar yang berusia antara 13 hingga 18 tahun dengan tiga tenaga pengajar tahfiz melalui geran Pemindahan Ilmu UPM (KTGS) sebanyak RM25,000 bagi merealisasikan harapan menjadikan pelajar tahfiz bukan hanya mempunyai ilmu hafazan al-Quran, bahkan mempunyai ilmu pertanian bandaran.


ANAK benih cili yang sudah dipindahkan ke dalam beg semaian.

Bertempat di Tahfiz Al Munawwarah, Kemensah, Hulu Klang, Selangor program selama satu tahun bermula dari Mac 2018 hingga Mac 2019 itu menitikberatkan kaedah penanaman fertigasi cili yang mampu menjana pendapatan tambahan tahfiz selain dapat memasarkan hasil pertanian kepada pengguna secara terus dari pusat fertigasi di tahfiz berkenaan.

Bagi tempoh enam bulan pertama, pelajar didedahkan kepada teori kaedah dan pemindahan anak pokok ke dalam beg semaian.

Teknik penjagaan dan aplikasi sistem pengairan fertigasi sangat dititikberatkan untuk tempoh enam bulan pertama ini.

Menurut pegawai penyelidik program Rudie Tajuddin, Transformasi Kemahiran Pertanian Komuniti Tahfiz adalah program yang berunsurkan pemindahan ilmu untuk disampaikan kepada golongan sasar dan boleh dimanfaatkan secara berterusan.

“Ia antara hasrat UCTC UPM untuk memperkasakan kepentingan pemindahan ilmu dan seterusnya golongan yang dilatih akan melatih lebih ramai lagi peserta lain pada masa akan datang.


PESERTA diberi penerangan berkenaan salah satu bahan yang digunakan untuk kaedah penanaman fertigasi cili.

“Hasil kajian yang bakal dikeluarkan pada akhir program kelak akan menunjukkan kecenderungan pelajar tahfiz terhadap kepentingan pertanian bandaran, peningkatan pengetahuan dan keupayaan mereka menjana kewangan dengan sendiri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Kebajikan dan Kemasyarakatan Masjid Al Iman, Kemensah Height Datuk Azwan Aboo Mansoor turut menyokong usaha sama ini. Malah sangat berbesar hati dengan program pemindahan ilmu fertigasi cili ini kepada Pusat Tahfiz Al Munawwarah.

“Saya berharap dengan kerjasama ini, pusat Tahfiz Al Munawwarah akan menjadi pusat kerjasama masyarakat, jaringan universiti dan sebagai projek perintis untuk pusat tahfiz terpilih serta berdekatan,” katanya.

Program ini dijangka membuahkan hasil dan dapat membantu pusat tahfiz dalam usaha menjana ekonomi sendiri.

Di samping itu, pelajar dan guru yang dilatih diharap bakal menjadi pakar dalam fertigasi cili selain dapat menghasilkan tanaman cili berskala sederhana ini dengan sendiri suatu hari nanti.

Pusat Tahfiz Al Munawwarah akan menjadi satu pusat rujukan sehenti dan contoh kepada institusi lain pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 7:37 AM