MAHASISWA hari ini merebut sebanyak mungkin peluang termasuk bekerja sambil belajar untuk mencipta masa depan lebih gemilang.
Sarah Aina Shawal

[email protected]

KEHIDUPAN mahasiswa di kampus memerlukan mereka membuat perancangan kewangan yang baik, jika tidak pastinya perbelanjaan tidak mencukupi sehingga timbul kes terpaksa ikat perut.

Menyedari hakikat itu, ramai dalam kalangan mereka mengambil peluang melakukan kerja sambilan pada waktu senggang, hujung minggu dan cuti semester.

Kebanyakannya memilih kerja yang mereka minati, bebas dan boleh disesuaikan dengan jadual waktu sesi pengajian di universiti.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Perhubungan Antarabangsa dan Strategik, Universiti Malaya (UM), Muhammad Harris Shazman berkata, dia memilih untuk bekerja ketika belajar kerana minatnya yang cukup mendalam dalam bidang perniagaan.

Katanya, saya tidak melihat bekerja sambil belajar sebagai bebanan besar sekiranya seseorang itu pandai membahagikan masa antara bekerja dan belajar.


MEMILIH bekerja sambil belajar memberi banyak pengalaman dan membina karakter luar biar biasa khususnya ketika berdepan khalayak.

“Saya melihat perkara ini dari sudut positif kerana banyak ilmu baharu yang diperoleh dengan bekerja sambilan berbanding hanya belajar sepenuh masa.

“Pembahagian masa sangat penting kerana kita mempunyai dua komitmen yang sangat penting iaitu untuk lulus cemerlang dalam akademik dan tanggungjawab sebagai pekerja kepada majikan yang memberi pendapatan untuk sara diri,” katanya.

Muhammad Harris berkata, ketika belajar dia sudah merancang untuk menjalankan perniagaan sebaik saja tamat pengajian memandangkan turut mengambil jurusan perniagaan ketika diploma.

Ketika itu, katanya, dia tidak mempunyai modal mencukupi dan hanya mampu bekerja dengan orang lain di samping menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, dia mula bekerja sambilan ketika diploma dan bersungguh-sungguh mencari pendapatan sehingga berjaya mengumpul RM20,000 selain membolehkannya membuka perniagaan sendiri.


MUHAMMAD Harris (kanan) berbincang dengan pekerjanya mengenai langkah untuk meningkatkan perniagaannya.

“Pelbagai pengalaman bekerja mematangkan saya terutama apabila berhadapan dengan masalah dan perlu diselesaikan dengan bijak, tetapi ia tidak mematahkan semangat untuk meneruskannya.

Mengulas lanjut, Muhammad Harris berkata, sebagai mahasiswa mungkin sukar untuk membahagikan masa, namun tiada apa boleh menghalang apabila seseorang itu mempunyai azam yang kuat.

“Saya percaya pengalaman bekerja mampu menjadikan seseorang bijak mengurus kewangan, berdisiplin dan pada masa sama perlu mendapat pencapaian baik dalam akademik yang boleh dibanggakan,” katanya yang kini menjadi pemilik Oh Juice Malaysia.

Sementara itu, Pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Khalil Ghazali Zainal Abidin berkata, dia memilih untuk bekerja sambilan ketika belajar kerana ingin membantu ekonomi keluarga di samping membantu memenuhi keperluan ketika belajar.


BEKERJA sambil belajar memberikan pelbagai kelebihan kepada mahasiswa.

Katanya, belajar di universiti swasta memerlukan perbelanjaan besar walaupun pinjaman sudah diberikan bagi membayar yuran pengajian setiap semester. Bagaimanapun, pelajar masih perlu memenuhi keperluan kos sara hidup dan memberli peralatan untuk pengajian.

“Sebagai pelajar, saya perlu bijak menggunakan masa yang ada dan tidak boleh mengharapkan akan ada pekerjaan menunggu selepas tamat pengajian, lebih-lebih lagi apabila langsung tiada pengalaman bekerja.

“Saya akan fokus di dalam kelas dan menyiapkan tugasan terlebih dulu sebelum membuat temu janji dengan pelanggan pada sebelah petang.

“Bekerja sambil belajar dapat mendisiplinkan diri saya menghargai masa kerana setiap waktu terluang sangat berharga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Disember 2018 @ 12:56 PM