MANAGEMENT and Science University (MSU) mendapat akreditasi The Accreditation Council for Entrepreneurial and Engaged Universities (ACEEU) dari Belanda. Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, dengan akreditasi itu menjadikan MSU satu-­satunya universiti di Asia yang mendapat pengiktirafan berkenaan.

“Sepanjang lebih tiga dekad yang lalu, MSU juga memperoleh pelbagai pengiktirafan termasuk Top 2 Percent Among Asia’s Best Universities menerusi QS Asia Ranking 2019 serta penarafan lima bintang dalam QS World Rating System bagi pengajaran, kebolehpasaran, kemudahan, tanggungjawab sosial dan inklusif,” katanya pada Majlis Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen MSU Ke-24, baru-baru ini.

Katanya, kajian pengesanan graduan Kementerian Pendidikan turut menyaksikan tahap kebolehpasaran graduan MSU pada paras 98.6 peratus iaitu tertinggi dalam kalangan institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Pencapaian ini berikutan hubungan baik MSU dengan industri yang kukuh dan universiti akan berusaha untuk mengekalkan pencapaian sedia ada.

“Setakat ini, kami bekerjasama dengan 1,700 syarikat dari dalam dan luar negara bagi penempatan latihan industri pelajar MSU.

Beliau berkata, MSU Medical Centre (MSUMC) yang menjadi mercu tanda baharu untuk bandar raya Shah Alam sudah memulakan operasinya, baru-baru ini.

“MSUMC turut menyediakan kemudahan pembelajaran (hospital mengajar) kepada pelajar perubatan MSU,” katanya.

Pada majlis konvokesyen berkenaan, MSU menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat dalam Pengurusan Pendidikan kepada Direktur Eksekutif Badan Akreditas Nasional Perguruan Tinggi Indonesia, Prof Dr T Chan Basaruddin.

Selain itu, seramai 43 graduan dianugerahkan ijazah doktor falsafah, 20 (ijazah sarjana), 1,171 (ijazah sarjana muda) dan 577 menerima diploma ­masing-masing.

Pada majlis itu juga, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibnu Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin dimasyhurkan sebagai Canselor MSU yang baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 5:30 AM
DR Mohd Shukri bersama pelajar cemerlang.