PELAJAR dan tenaga pengajar DPHU bergambar selepas sesi praktikal.
PELAJAR dan tenaga pengajar DPHU bergambar selepas sesi praktikal.
Fazurawati Che Lah

Saban tahun, ratusan ribu tetamu Allah menunaikan haji dan umrah dan ia pastinya memerlukan organisasi yang efektif bagi memastikan kelancaran pengurusan jemaah agar mereka sentiasa dalam keadaan baik.

Oleh itu, industri pengurusan haji dan umrah di Malaysia semakin berkembang serta maju berikutan sambutan menggalakkan daripada masyarakat yang kini memilih agensi berkaitan untuk keperluan ibadat berkenaan.

Maka, tidak hairanlah graduan yang mempunyai kepakaran mahupun kebolehan dalam bidang pengurusan haji dan umrah amat diperlukan.

Ini kerana jumlah mutawif iaitu pembimbing golongan jemaah ketika di Tanah Suci tidak ramai untuk menampung keperluan itu. Bukan hanya keperluan terhadap mutawif, tetapi melahirkan usahawan haji dan umrah yang lebih beretika.

Ketua Program Diploma Pengurusan Haji dan Umrah (DPHU), Datuk Seri Kamarudin Mat Ali berkata, graduan yang mempunyai gabungan pengetahuan dan kemahiran tinggi dalam bidang haji serta umrah pastinya mampu menyediakan perkhidmatan terbaik, berintegriti dan berdasarkan hukum- hakam dengan pendekatan pengurusan era Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).

“Keperluan itu juga selari dengan aspirasi Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Wawasan 2030 kerajaan Arab Saudi.

“Bukan setakat melahirkan usahawan dalam bidang berkaitan haji, umrah, pelancongan dan seumpamanya di Malaysia tetapi sehingga peringkat global,” katanya.

Berpengalaman dengan Tabung Haji (TH) selama lebih 40 tahun selepas terbabit secara langsung dalam operasi haji di Malaysia dan Arab Saudi, Kamarudin berkata, pendekatan amali diutamakan dalam industri terbabit bagi meningkatkan kepakaran serta pengalaman graduan.

Katanya, DPHU kendalian DSK School Of Management di bawah naungan Kolej Antarabangsa Inovatif yang beroperasi di Kelana Square, Petaling Jaya, Selangor dibentuk selaras dengan matlamat kerajaan untuk melahirkan usahawan sebagai kerjaya dalam industri itu.

“Sepanjang program, pelajar dibimbing dengan pensyarah yang berpengalaman dan mahir dalam industri pengurusan haji serta umrah.

“Pelajar didedahkan dengan bidang e-perniagaan, pentadbiran, pemasaran, komunikasi, pelancongan, hospitaliti dan pengurusan acara,” katanya.

Katanya, tempoh pengajian program DPHU mengambil masa dua tahun enam bulan dan yang menariknya, pada semester akhir, selain menjalani latihan industri di Malaysia, pelajar juga akan dihantar ke latihan industri di Makkah, Madinah serta Jeddah selama dua minggu, di samping berpeluang mengerjakan ibadat umrah tertakluk pada terma dan syarat yang ditetapkan.

Menurutnya pihaknya akan membuat pengambilan kedua 29 April ini dan mereka yang ingin mendapatkan maklumat boleh menghantar e-mel di [email protected].

Setakat ni, katanya, 140 pelajar sudah mengikuti program DPHU bagi pengambilan pertama Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 10:36 AM