Fazurawati Che Lah

CUTI penggal pertama bagi sesi persekolahan 2019 sudah bermula sejak Jumaat lalu bagi Kelantan, Kedah, Terengganu dan Johor, manakala bagi negeri lain pada Sabtu lalu.

Selepas lebih dua bulan menjalani rutin sebagai pelajar, pastinya cuti sekolah ini menjadi antara yang dinantikan sejak sesi persekolahan dibuka awal Januari lalu.

Ketika inilah mereka mengambil peluang untuk berehat bersama-sama ahli keluarga bagi tempoh sembilan hari cuti yang diputuskan.

Namun begitu, di sebalik kegembiraan murid sekolah menyambut cuti persekolahan pertama ini, perlu diingatkan banyak perkara penting yang perlu diambil kira terutama dari segi pelajaran dan keselamatan.

Musim cuti persekolahan bukanlah tiket bagi seseorang murid untuk melupakan ilmu dan menggunakan sepenuhnya masa dengan bermain.

Selain perlu bijak memanfaatkan cuti sekolah dengan perkara berfaedah, keselamatan individu perlu diutamakan bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

MENGULANG kaji pelajaran perlu bagi memastikan sentiasa bersedia.
MENGULANG kaji pelajaran perlu bagi memastikan sentiasa bersedia.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Miri, Sarawak, Ahmad Fauzi Yaakob berkata, cuti sekolah bukan bermaksud pelajar terus bebas daripada semua kegiatan yang bersangkut-paut dengan sekolah, sebahagian daripada rutin hari persekolahan perlu diteruskan.

Beliau berkata, sebagai murid, sudah menjadi tanggungjawab untuk belajar dan menimba ilmu sebanyak mungkin walaupun sedang cuti.

Katanya, cuti persekolahan sememangnya untuk murid berehat, namun begitu ia bukan bermaksud buku dan pensel juga turut bercuti.

“Rutin seperti pada hari persekolahan perlu diteruskan seperti bangun awal untuk solat Subuh, mengulang kaji pelajaran dan menyiapkan kerja rumah yang diberi.

“Bagi pelajar kelas peperiksaan, ‘mood’ peperiksaan perlu dikekalkan supaya pelajar dalam keadaan sentiasa bersedia dan tidak ketinggalan dengan topik yang diajar oleh guru.

“Cuti adalah waktu terbaik untuk mengulang kaji dan melihat balik apa yang diajar oleh guru,” katanya.

KURANGKAN aktiviti luar rumah pada musim panas bagi mengelak strok haba.
KURANGKAN aktiviti luar rumah pada musim panas bagi mengelak strok haba.

Katanya, cuti sekolah adalah waktu terbaik untuk pelajar membuat persediaan yang lebih rapi bagi menghadapi hari persekolahan berikutnya kerana boleh dilakukan secara lebih santai berbanding hari persekolahan yang terikat dengan tugasan daripada guru.

Oleh itu, katanya, aplikasi Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE Frog) boleh diaplikasikan guru kepada pelajar sewaktu cuti persekolahan untuk pemantapan latih tubi soalan di rumah.

“Bagi sekolah saya, untuk pelajar kelas peperiksaan, guru menyediakan soalan khas untuk disiapkan oleh pelajar pada cuti persekolahan melalui VLE Frog dan kita namakan program itu Take Home Test (THE).

“Melalui THE ini, pelajar akan menjawab secara dalam talian. Secara tidak langsung, berlaku penjimatan kertas dan penggunaan teknologi semasa, kaedah ini menyeronokkan pelajar kerana menjawab latihan menggunakan alat teknologi.

“Sejak dilaksanakan 2015, THE berjalan lancar, bagi pelajar yang tiada kemudahan Internet, guru mengenal pasti lebih awal dan akan menyediakan salinan untuk mereka,” katanya.

VLE Frog ialah sistem pembelajaran berasaskan web yang menyerupai dunia pembelajaran sebenar dengan mengintegrasikan konsep pendidikan konvensional dengan kaedah maya.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Petaling 2, Razali Muda berkata, mengenai aspek keselamatan, seseorang murid itu perlu meningkatkan ciri keselamatan diri dan peka dengan keadaan sekeliling.

“Cuaca yang panas sekarang ini pastinya mengundang masalah kesihatan dan jangkitan penyakit. Banyakkan minum air pada musim ini, kurangkan juga aktiviti di luar rumah bagi mengelak strok haba dan masalah kesihatan seperti demam,” katanya.

MANFAATKAN cuti dengan belajar berniaga.
MANFAATKAN cuti dengan belajar berniaga.

Katanya, murid juga dinasihatkan mengelak daripada bermain di kawasan bahaya seperti sekitar air terjun, lombong, sungai dan tempat berbahaya.

“Anda boleh elakkan diri daripada menjadi mangsa. Jika ada rakan mengajak anda untuk bermain di tempat bahaya, nasihatkan mereka dan ingatkan diri untuk tidak mengambil risiko.

“Keseronokan mungkin hanya sementara. Malang tidak berbau, keseronokan boleh mengundang air mata kesedihan jika kemalangan berlaku,” katanya.

Razali berkata, kemalangan membabitkan motosikal dan basikal juga turut sering dilaporkan berlaku membabitkan murid sekolah.

“Jika jatuh sedikit, mungkin hanya menyebabkan kecederaan kecil tetapi bayangkan jika kemalangan itu mengakibatkan tulang patah atau kecederaan dalaman, Sudah tentu ia akan membebankan banyak pihak khususnya ibu bapa selain kesakitan diri sendiri.

“Jangan terlalu ghairah apabila bermain dengan rakan sebaya. Sebaliknya, utamakan ciri keselamatan selain patuh akan nasihat ibu bapa atau orang lebih dewasa,” katanya lagi.

BERCUTI bersama keluarga boleh dilakukan pada musim cuti sekolah.
BERCUTI bersama keluarga boleh dilakukan pada musim cuti sekolah.

INFO

AKTIVITI BERMANFAAT KETIKA CUTI SEKOLAH

1. Menyertai kem ibadah dan motivasi

2. Bersukan

3. Menghadiri kelas bahasa

4. Melawat datuk dan nenek di kampung

5. Melakukan kerja amal

6. Melukis, membaca, membuat kraf tangan, bermain alat muzik, tarian

7. Melancong

8. Ulang kaji pelajaran

9. Belajar menggunakan teknologi

10. Belajar berniaga

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 11:09 AM