PESERTA Siswa #Quran Hour selepas tamat bacaan.
Fazurawati Che Lah

SERAMAI 1,000 penuntut institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh Kelantan bersama-sama membaca al-Quran secara serentak selama satu jam melalui program Siswa #Quran Hour, di Masjid Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Bachok, Kelantan, baru-baru ini.

Program yang diaktifkan oleh Pusat Islam UMK dan Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) itu bermula pada jam 8 pagi sehingga 2 petang.

Antara pelajar IPT awam dan swasta yang terbabit adalah dari UMK, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKMM).

UMK menjadi universiti awam (UA) pertama menganjurkan program Siswa #QuranHour peringkat negeri Kelantan.

Program Siswa Quran Hour turut menampilkan johan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2018, Abdulah Fahmi Che Nor, yang memperdengarkan bacaan surah al-Mukminun ayat 1 hingga 16.

Pada program itu, setiap peserta diberikan beberapa muka surat dan mereka mengaji serentak menghabiskan 114 surah selama satu jam.

Menurut Naib Canselor UMK, Prof Dr Noor Azizi Ismail, program Siswa #Quran Hour itu amat bertepatan bagi memperkasakan budaya membaca dan menghayati al-Quran dalam kehidupan umat Islam.

Beliau berkata, kerjasama antara

Pusat Islam UMK dan PRNNK amat tepat pada masanya untuk bersama-sama memperkasakan

roh al-Quran kepada

warga universiti dan masyarakat.

“Menerusi program ini, kita dapat meningkatkan nilai dan kualiti insan yang bukan sahaja melalui pembacaan al-Quran tetapi juga mampu menghayati dan diterjemahkan dalam kehidupan seharian.

“Al-Quran satu-satunya mukjizat daripada Allah SWT yang masih wujud dan dapat dimanfaatkan oleh semua hamba-Nya. Wahyu pertama yang diturunkan iaitu ayat 1 hingga 5 surah al-Alaq dan seterusnya, menjadi asas perkembangan dan kemajuan menakjubkan zaman kegemilangan tamadun Islam suatu ketika dahulu khususnya pada abad kesembilan sehingga abad ke-15,” katanya pada majlis perasmian Siswa #Quran Hour di Masjid UMK, Bachok.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Mohd Rafi Yaacob; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Zaliman Sauli; Pengarah Pusat Islam, Prof Madya Dr Azhar Muhammad dan Pengerusi PRNNK, Datuk Adnan Hashim.

Sementara itu, Dr Azhar berkata, program itu berjaya menghimpunkan pelajar IPT yang juga generasi muda yang menjadi aset penting kepada masa depan negara.

“Saya percaya kita mampu menghasilkan pelajar atau mahasiswa yang seimbang dan berjaya dalam segenap aspek jika kita meletakkan al-Quran sebagai teras dalam kehidupan.

“Kejayaan graduan bukan sahaja diukur dari sudut kelulusan akademik semata-mata, tetapi juga kualiti kemanusiaan atau nilai keinsanan yang menjadi perhatian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 11:54 AM