NOORAZLAN (kiri) menerima sijil daripada wakil Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas tamat sesi penilaian projek kimpalan daripada ATM.
Fazurawati Che Lah


KERJAYA jurukimpal terdedah dengan pelbagai risiko yang memerlukan mereka sentiasa memastikan supaya berada pada tahap keselamatan terjamin.

Seorang jurukimpal ada kalanya perlu berada di tempat yang tinggi ketika menyiapkan kerja dan lebih mencabar mereka sentiasa berdepan dengan percikan api.

Apatah lagi, kerja kimpalan dilakukan dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan kaedah. Antara kaedah kimpalan yang sering digunakan adalah menggunakan nyalaan api, tenaga elektrik bervoltan tinggi, sinaran laser, tembakan elektron, kimpalan geseran dan ultra bunyi.

Selain itu, seorang jurukimpal perlu bersedia untuk bekerja dalam persekitaran yang tidak menentu dan sentiasa berdepan risiko.

Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Shah Alam, Selangor, Noorazlan Mohd Samsuddin berkata, jurukimpal tetap dianggap satu daripada beberapa kerjaya yang sentiasa mendapat permintaan yang tinggi.

Katanya, peluang pekerjaan lebih meluas dan tidak terhad dalam industri pembinaan dilihat faktor ia menjadi pilihan ramai golongan muda.

“Kerjaya jurukimpal mempunyai permintaan yang tinggi dalam industri kerana gaji ditawarkan juga tinggi dalam pelbagai jenis industri masa kini.

“Industri kimpalan juga sentiasa menawarkan peluang pekerjaan yang konsisten kerana bidang ini boleh dikatakan fleksibel walaupun mereka menukarnya kepada industri lain,” katanya.

Katanya, bidang kerjaya industri kimpalan merangkumi kejuruteraan, pemeriksaan, robotik, pengurusan projek, jualan, kejuruteraan perkapalan, kejuruteraan minyak dan gas, pendidikan serta sebagainya.

“Anggaran gaji seorang pengimpal antara RM1,500 sehingga ke lima angka bergantung kepada tahap kemahiran yang dimiliki mereka.

“Tahap kemahiran ini berkait rapat dengan tahap kesukaran ketika proses kimpalan itu sendiri seperti posisi atau kedudukan mengimpal, proses atau jenis kimpalan dan material atau bahan digunakan,” katanya.

Selain itu, katanya, kemahiran utama yang perlu ada pada pengimpal ialah teknik mengimpal yang betul iaitu mereka harus tahu posisi atau kedudukan mengimpal dan proses kimpalan yang sesuai mengikut Spesifikasi Prosedur Kimpalan (WPS).

Pengimpal juga harus menduduki Ujian Kelayakan Mengimpal (WQT) dan wajib lulus sebelum mereka layak digelar seorang pengimpal yang berkemahiran

tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 5:00 AM