PESERTA bergambar selepas tamat program menyantuni gelandangan.
PESERTA bergambar selepas tamat program menyantuni gelandangan.
Fazurawati Che Lah


STIGMA dan diskriminasi terhadap golongan gelandangan masih wujud pada hari ini sehingga golongan itu dilabel sebagai pengotor dan sampah masyarakat.

Bahkan kerap kali gelandangan dicemuh sebagai komuniti yang mencemarkan pemandangan ibu kota.

Ada baiknya jika masyarakat merenung sejenak dan bertanyakan apakah punca yang menyebabkan golongan ini merempat di kaki lima serta mengemis.

Jika dilihat di sebalik sejarah kehidupan, gelandangan menjadi mangsa lonjakan kos sara hidup di bandar dan ada dalam kalangan mereka ditimpa konflik keluarga, mengalami gangguan mental serta terbabit dalam gejala sosial.

Bagi membetulkan persepsi salah tanpa usul periksa itu, seramai 46 ahli kelab Visual Communication Design (VCODE) termasuk ahli Kelab Nadi Institut Penyelidikan & Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengadakan program Khidmat Masyarakat for You Gelandangan Kuala Lumpur di Pusat Transit Gelandangan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program anjuran Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) dengan kerjasama InsPeK dan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) itu julung kali diadakan dengan tujuan utama untuk menyelami realiti kehidupan gelandangan di kota raya.

Penyelaras Program Khidmat Masyarakat for You, Dr Tengku Fauzan Tengku Anuar berkata, program itu adalah inisiatif pelajar FTKW untuk mendapatkan pendedahan dan maklumat tepat faktor dan punca berlakunya isu gelandangan.

Katanya, melalui program berkenaan, mahasiswa dapat menyelami sendiri realiti kehidupan gelandangan di kota raya.

GELANDANGAN ditemu bual peserta.
GELANDANGAN ditemu bual peserta.

“Hasil daripada pemerhatian dan tinjauan mendapati isu gelandangan wujud ekoran desakan sosio ekonomi dan gangguan emosi di luar kawalan menyebabkan mereka terpaksa meneruskan kehidupan dalam keadaan serba kekurangan.

“Program ini turut membentuk jalinan hubungan di antara mahasiswa dengan masyarakat setempat terutama dalam membentuk modal insan yang berkualiti, nilai moral, kemahiran komunikasi dan memahami budaya setempat.

“Melalui cara ini, mereka lebih menyedari akan tanggungjawab sosial yang perlu disumbang­kan kepada masyarakat selepas tamat pengajian kelak,” katanya.

Katanya, sesi beramah mesra dan bertanya khabar bersama-sama warga lorong juga pendekatan baru dalam menyantuni golongan ini.

“Ini dilihat lebih holistik dan besar kesannya melalui kaedah sentuhan dari hati ke hati berbanding dengan hanya memberi makanan serta barangan keperluan,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah InsPeK, Prof Madya Dr Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail berkata, program itu menjadi nilai tambah kepada hasil penyelidikan UMK selaras dengan matlamat penubuhan InsPeK dalam menguruskan kemiskinan melalui kolaborasi bersama rakan strategik.

Beliau berkata, program itu adalah permulaan awal kepada kajian perangkap kemiskinan bandar yang sedang dirancang InsPeK.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 11:19 AM