MELETAKKAN produk buangan yang boleh dikitar semula dalam sangkar 3R sebagai simbolik perasmian program Greenday @ UiTM Perak 2019.
Fazurawati Che Lah


KEMENTERIAN Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) menggalakkan budaya amalan hijau di semua pusat pengajian tinggi awam dan swasta di negara ini.

Institusi pengajian tinggi yang baik wajar membentuk pelajar untuk memelihara alam sekitar dan mempraktikkan amalan hijau dipelajari di dalam kelas kepada dunia realiti.

Seiring kehendak kementerian, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak sentiasa menyemarakkan aktiviti kreatif, inovasi dan mewujudkan persekitaran hijau melalui pembudayaan amalan lestari di dalam kampus.

Terbaru, kampus itu melancarkan Program Greenday @ UiTM Perak 2019 bagi menyokong hasrat berkenaan.

Rektor UiTM Cawangan Perak, Prof Madya Dr Md Yusof Hamid berkata, warga kampus digalakkan menjalankan usaha yang lebih proaktif dalam mengamalkan budaya hijau di dalam universiti.

“Pelancaran program ini menyasarkan projek amalan 3R di seluruh kawasan universiti dengan kerjasama syarikat konsesi 3R Bumiputera, E-Idaman Sdn Bhd.

“Selain itu, beberapa projek satelit diwujudkan bagi menggalakkan warga kampus bergerak seiring ke arah pembudayaan kampus lestari antaranya kempen penjimatan tenaga, pemasangan bumbung hijau dan program pendidikan,” katanya.

Katanya, amalan hijau digerakkan di UiTM Cawangan Perak sejak 2016 meliputi pelbagai strategi yang dianjurkan Jawatankuasa Kampus Hijau.


PROJEK khidmat masyarakat dengan komuniti setempat yang membabitkan amalan hijau.

Sementara itu, Penyelaras Jawatankuasa Kampus Hijau, Dr Nur Azfahani Ahmad berkata, antara projek hijau yang berjaya ialah pembentukan tapak fertigasi sayur-sayuran dan cili, pusat penternakan lebah kelulut, penggunaan semula air tadahan hujan untuk tujuan penyiraman, sekatan penggunaan bekas makanan polistren di dewan makan kolej, penghasilan baja kompos menggunakan daun kering, program riadah berbasikal dan larian secara berkala.

“Selain itu, pembudayaan inovasi hijau turut direalisasikan melalui projek yang pernah mendapat anugerah inovasi, iaitu Solar Work Bench.

“Projek itu menempatkan dua pusat mengecas peranti elektronik yang dijana menggunakan tenaga suria dari fotovoltan. Projek yang ditaja sepenuhnya dana Alumni UiTM Perak ini berjaya membantu pelajar menggunakan tenaga elektrik di luar bangunan perpustakaan dan mendidik pelajar berkenaan penjanaan tenaga hijau,” katanya.

Katanya, tidak hanya mengamalkan budaya hijau di dalam kampus, malah UiTM Cawangan Perak turut menjalinkan kerjasama dengan komuniti setempat melalui program khidmat masyarakat.

“Antaranya pemasangan panel suria fotovoltan untuk maahad tahfiz, pemasangan sistem tuaian air hujan untuk sekolah dan program pembangunan taman herba di masjid di sekitar Perak.

“Usaha amalan hijau yang berterusan ini akhirnya membuahkan hasil apabila UiTM Cawangan Perak dianugerahkan Anugerah Inisiatif Kejiranan Hijau kategori IPTA oleh Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) pada tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 5:00 AM