LATIHAN amali pemotongan papan cip atau papan serpih untuk penghasilan kabinet.
Fazurawati Che Lah

PENGHIAS dalaman adalah profesion yang memberikan perkhidmatan pengubahsuaian ruang dalaman dalam bangunan.

Apatah lagi penghias dalaman turut terbabit dengan kerja pembuatan, pemasangan, pembinaan barang hiasan dalaman pada bahagian siling, dinding, lantai dan perabot demi merealisasikan kehendak pelanggan.

Selain itu, penghias dalaman juga mempunyai kemahiran untuk menghasilkan lukisan susun atur ruang, selain unsur hiasan seperti pemilihan warna, fabrik, susun atur perabot dan pilihan aksesori bagi mencapai matlamat akhir iaitu mencipta keselesaan serta mewujudkan fungsi ruang.


LATIHAN amali pemasangan aksesori siling.

Pada masa sama, penghias dalaman juga terbabit dengan hiasan pentas untuk program korporat dan acara persendirian seperti sambutan hari lahir, majlis anugerah, konsert dan acara televisyen.

Ketua Bahagian Jurusan Teknologi Hiasan Dalaman, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Langat, Banting, Selangor, Siti Nor Sharbana Azmi berkata, program hiasan dalaman ditawarkan di IKBN Kuala Langat sejak Julai 2011 sudah melahirkan 150 graduan terlatih.

Beliau berkata, bagi menjaga kualiti latihan, bilangan pelajar dihadkan kepada 25 orang sahaja pada setiap pengambilan dan proses pembelajaran merangkumi 30 peratus teori dan 70 peratus amali.

Katanya, latihan dalam bidang itu dilaksanakan bagi persijilan Tahap 3 dan Tahap 4 yang mana graduan Tahap 3 bakal menjadi penghias dalaman manakala lepasan Tahap 4 bekerja sebagai koordinator hiasan dalaman.

“Kebolehpasaran pelajar bagi bidang ini juga amat baik dengan peratus lepasan pelajar yang mendapat pekerjaan dalam masa enam bulan selepas tamat belajar secara puratanya berada pada tahap 94 peratus.

“Kebanyakan lepasan pelajar menceburi bidang usahawan selepas tamat pengajian, manakala gaji permulaan yang ditawarkan syarikat bagi lepasan pelajar diploma bidang hiasan dalaman ini adalah sekitar RM1,600 sebulan,” katanya.

Biarpun berdepan cabaran dalam menghasilkan idea yang menarik dan memenuhi cita rasa masyarakat kini, bidang penghias dalaman sering mendapat sambutan menggalakkan dalam tempoh lima tahun ini.

Katanya, kepesatan pembinaan unit kediaman pemaju dan kenaikan taraf hidup rakyat Malaysia yang mahukan kehidupan yang lebih baik serta selesa menyebabkan bidang itu semakin mendapat sambutan.

“Mungkin suatu ketika dahulu hiasan dalaman yang cantik hanya dapat dilihat di tempat eksklusif seperti di hotel mewah dan kediaman orang kenamaan, namun kini keperluan mendapatkan hiasan dalaman turut mendapat perhatian daripada pemilik kediaman konvensional seperti rumah kos sederhana serta kos rendah.

“Selari peningkatan taraf sosioekonomi penduduk, permintaan untuk perkhidmatan penghias dalaman semakin mendapat sambutan ditambah dengan kemajuan teknologi yang pesat menyebabkan kos untuk mendapatkan sesuatu lebih rendah dan terdapat pelbagai pilihan hiasan pada harga mampu milik,” katanya.

Siti Nor Sharbana berkata, jika suatu masa dahulu bagi setiap pengubahsuaian rumah, pelanggan perlu melantik kontraktor berbeza bagi setiap skop kerja namun dengan adanya profesion penghias dalaman ini, mereka dapat melaksanakan semua skop kerja dalam hiasan dalaman.

Katanya, penghias dalaman perlu kreatif dan mempunyai minat untuk menghias kerana bidang itu sentiasa berkembang dari semasa ke semasa dan memerlukan sentuhan idea baru untuk memenuhi kehendak pelanggan.


SUASANA pembelajaran hiasan dalaman dalam kelas teori.

Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia membangunkan Standard Pekerjaan Kemahiran Kebangsaan (NOSS) dalam bidang hiasan dalaman pada peringkat sijil lanjutan sehingga diploma lanjutan kemahiran supaya pekerja kemahiran yang dilahirkan mempunyai latihan khas mengikut kurikulum yang dibangunkan.

Bagi persijilan kemahiran di bawah JPK, melalui pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), program yang ditawarkan dalam bidang hiasan dalaman adalah Sijil Lanjutan Kemahiran Malaysia, Tahap 3 dan Diploma Kemahiran Malaysia, Tahap 4 dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia Tahap 5.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 10:20 AM