KUMPULAN ENGINIUS bersama inovasi yang mereka hasilkan. FOTO NSTP
Fazurawati Che Lah

POLITEKNIK Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Arau, Perlis merangkul pingat emas dan Anugerah Inovasi Terbaik bagi kategori Sains dan Teknologi pada Pertandingan Ciptaan dan Rekaan Antarabangsa (BVIIEC) 2019 yang diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah, baru-baru ini.

Pasukan PTSS terdiri daripada pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM) menghasilkan inovasi Modish Smart Key Box (MSKB).

Pembentangan itu dilaksanakan Kumpulan Enginius yang terdiri daripada Mohd Zulfabli Hasan, Nurismalina Haris, Mohamad Najib Ramli, Nurisah Wahb @ Abd Wahab, Sahruan Ahmad, Nazeera Dan, Mohd Hanafiah Mat Jamlus, Nur Fara Diana Rusli dan Masniza Yusof.

MSKB ialah kotak kunci bagi mengatasi masalah kehilangan kunci dan pemantauan penggunaan kunci.


SEORANG peserta kumpulan Enginius memberikan penerangan kepada juri mengenai hasil rekaan mereka. FOTO NSTP

Inovasi itu dihasilkan dengan reka bentuk menggunakan pereka perkakas lembut dan seterusnya proses pembuatan, pembangunan MSKB diadaptasi dengan kaedah ‘Software Development Life Cycle’ (SDLC).

Kotak kunci ini juga dicipta dengan ciri keselamatan yang moden dan rekaan selaras dengan revolusi perindustrian 4.0 dengan menggunakan Internet of Things (IoT), teknologi realiti bertambah (AR), pengkomputeran awan dan sistem berintegrasi.

MSKB menggunakan IoT untuk menyemak status penggunaan kunci melalui telefon bimbit dan mengadaptasi konsep daripada alat pengeluaran bersandar iaitu kilang visual.

Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan, berkata kejayaan itu pengiktirafan kepada pihaknya kerana mampu berdaya saing dalam menghasilkan inovasi yang memberi impak besar dan setanding dengan institusi pengajian tinggi (IPT) lain.

Kemenangan itu membolehkan kumpulan Enginius membawa pulang pingat, sijil dan wang tunai RM150 yang disampaikan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah.


KUMPULAN ENGINIUS bersama pingat emas dan hadiah kemenangan mereka. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 9:45 AM