PESERTA SMK Sultan Abdul Aziz Shah menjuarai pertandingan.
Fazurawati Che Lah


Gabungan 30 suara dan lenggok badan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Aziz Shah, Kajang, Selangor memukau juri dan sekali gus melayakkan mereka bergelar juara Pertandingan Bicara Berirama Peringkat Selangor bagi 2019.

Pertandingan Bicara Berirama yang diadakan di Shah Alam Convention Centre Mall (SACC Mall), baru-baru ini, anjuran kali pertama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Real Estate Sdn Bhd (PREC) dan dikelolakan Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat.

Sepuluh sekolah terdiri daripada 300 pelajar dan 100 guru pembimbing dari Hulu Langat, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Klang, Kuala Langat, Sepang, Petaling Utama dan Petaling Perdana berentap bagi merebut tempat pertama untuk mewakili Selangor ke peringkat kebangsaan yang bakal diadakan di Pahang.

Pemangku Pengurus Pusat PREC, Syahril Mohd Rashid dalam ucapan perasmian berkata, program pendidikan itu antara cabang dalam menjayakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat PREC.

“Pertandingan seperti ini dapat memupuk minat dan meningkatkan kecemerlangan murid, sama ada yang bersekolah di bandar mahupun di luar bandar dalam bidang kokurikulum dan akademik.

“Program ini juga memperkukuh konsep pembelajaran bahasa Melayu yang dipelajari mereka,” katanya.

Hadir sama, Penyelia Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Tunku Saidatul Bariah Tunku Nizam.

Tunku Saidatul Bariah berkata, pertandingan itu berkesan dalam menarik minat murid terhadap persembahan bahasa puisi dalam bentuk berkumpulan.

“Pertandingan ini membantu mereka membentuk satu paduan suara tematik untuk diperdengarkan kepada penonton.

“Kesepaduan dan keseragaman suara sangat penting serta dapat membentuk disiplin yang tinggi dalam kerja berpasukan.

“JPNS berharap pertandingan ini dapat diteruskan pada masa akan datang bersama PREC, selain memberi pendedahan kepada masyarakat berkenaan aktiviti kokurikulum yang diadakan di sekolah.

“Pada masa sama program ini dapat meningkatkan keyakinan dan menonjolkan bakat pelajar kepada khalayak ramai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 1:50 PM