NIE Ching menyampaikan ijazah kepada graduan.
Fazurawati Che Lah


SERAMAI 1,964 graduan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) berjaya menamatkan pengajian dan bergraduasi pada Majlis Konvokesyen PSA kali ke-21 di PSA, Shah Alam, baru-baru ini.

Majlis konvokesyen itu dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Istiadat konvokesyen PSA itu turut menyaksikan empat kategori anugerah kepada graduan cemerlang iaitu Anugerah Pengarah (Politeknik), Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum, Anugerah Iltizam dan Pingat Ketua Jabatan.

Teo dalam ucapannya berkata, PSA mencapai peratusan kebolehpasaran graduan yang tinggi bukan sahaja dalam kalangan Politeknik Malaysia tetapi juga dalam kalangan universiti awam dan institusi pengajian tinggi swasta.

Katanya, pada 2018, PSA mencapai 98.72 peratus kebolehpasaran graduan dan institusi pengajian itu melebihi tahap pencapaian yang disasarkan pada peringkat nasional sebanyak 90 peratus.

“Faktor utama yang mengukur kejayaan sesuatu institusi pengajian adalah graduan yang dilahirkan dapat diterima majikan dan pihak industri.

“Kebolehpasaran adalah menjadi penanda aras kepada pencapaian institusi pendidikan dan latihan. Syabas dan tahniah kepada warga PSA,” katanya pada sidang pertama istiadat konvokesyen PSA baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Kanan (Akademik) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Zainab Ahmad dan Pengarah PSA, Dr Mohd Zahari Ismail.


GRADUAN menunjukkan ijazah yang diterima.

Teo berkata, Kementerian Pendidikan sentiasa menyokong usaha untuk meningkatkan bilangan tenaga kerja teknikal yang mahir dan cekap melalui penawaran program teknikal dan akreditasi program melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Board of Engineers (BEM) dan juga kolaborasi bersama Malaysia Board of Technologists (MBOT).

“Diharapkan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh ketika berada di PSA dapat dimanfaatkan graduan sebaik mungkin dalam kehidupan seharian.

“Malaysia menerusi institusi pendidikan seperti politeknik mewujudkan ekosistem inovasi dan tenaga kerja inovatif, di samping melonjakkan penyelidikan dan pembangunan ke tahap membanggakan.

“Saya pasti graduan PSA adalah graduan yang dinantikan oleh bakal majikan,” katanya.

Katanya, penting untuk graduan mempertingkatkan kualiti diri selaras dengan keperluan industri bukan sahaja dari segi kemahiran teknikal, malah dari segi kemahiran generik.

“Selaras dengan hasrat kerajaan untuk ‘mengarusperdanakan’ dan memperlu

askan akses kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang berkualiti, saya melihat pihak industri sentiasa memberi kerjasama dalam usaha untuk melahirkan modal insan kelas pertama.

“Komitmen daripada pihak industri adalah sangat bermanfaat agar keperluan industri dapat dipenuhi melalui graduan yang dihasilkan,” katanya.


SEBAHAGIAN ibu bapa yang hadir untuk meraikan kejayaan anak masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 10:01 AM