Zahrul
Fazurawati Che Lah


FAKULTI Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjayakan Persembahan Jazz Melayu di Batam, Indonesia, baru-baru ini.

Persembahan itu bersempena program jaringan antarabangsa bersama Pondok Pesantren Al Pancory NW Batam, Pondok Pesantren Nuruttaubah Batam, Lembaga Adat Melayu (LAM) dan Pemerintah Kota Batam.

Program yang disertai 32 pensyarah dan pelajar berlangsung di Crown Vista Kota Batam itu menjadi medium ekspresi dan apresiasi seni bersifat tanggungjawab sosial kerana dijalankan untuk mengumpul kutipan derma bagi pembangunan kedua-dua pondok pesantren di Batam.

Dekan FMSP, Prof Madya Zahrul Lailiddin Saidon berkata, selain persembahan, pihaknya juga mengadakan pertemuan dengan pegawai atasan dari institusi kerajaan atau pemerintah Kota Batam.

Katanya, rombongan dari UPSI dibawa melawat ke Pondok Pesantren Al Pancory NW di Sungai Beduk Kota Batam untuk beramah mesra bersama-sama pelajar dan pengajar pesantren itu.


SESI ramah mesra di Pondok Pesantren Al Pancory NW Batam.

“Lawatan itu memberi peluang kepada pelajar menghayati nilai keagamaan, sekali gus mengukuhkan peribadi mereka sebagai insan Muslim.

“Ketika berada di Kampung Melayu Batam, Pulau Panjang, pelajar FMSP menjayakan persembahan bersama-sama seniman kesenian tradisional Mak Yong selain beramah mesra dengan seniman tradisi Melayu yang tersohor di Kota Batam.

“Sepanjang sesi latihan di bawah kendalian pensyarah muzik FMSP, Zamrus Hashim di Dewan Lembaga Adat Melayu Kota Batam, penggiat seni dan pegawai kerajaan di Batam serta memberi reaksi positif terhadap delegasi UPSI,” katanya.

Menerusi program itu katanya, UPSI turut berjaya menjalin kerjasama di peringkat antarabangsa dengan beberapa jabatan di Kota Batam termasuk Pemerintah Kota Batam dan Lembaga Adat Melayu (LAM) Batam yang mempunyai autoriti dalam kebudayaan Melayu di kota raya itu.

“UPSI juga berpeluang mengambil pelajar antarabangsa dalam kalangan pegawai pemerintah Kota Batam, ahli dalam organisasi kemasyarakatan dan kakitangan universiti yang ada di Kota Batam.

“Kami turut diberi peluang menjalankan aktiviti vokasional di pondok pesantren, pelestarian kesenian Melayu, penyelidikan kesenian Melayu, dan penerbitan antarabangsa apabila bekerjasama dengan pemerintah Kota Batam,” katanya.


DELEGASI UPSI bersama penggiat seni Pulau Batam yang menjayakan persembahan di Crown Vista Hotel Kota Batam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 10:05 AM