MUTO (dua dari kanan) pada majlis pelancaran i-Pro Extreme di Kuala Lumpur, semalam.
Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Panasonic Malaysia Sdn Bhd (Panasonic Malaysia) memperkenalkan platform pengawasan i-Pro Extreme baru membabitkan rangkaian kamera, perakam dan perisian pengurusan video (VMS) terkini bagi mengukuhkan kedudukannya dalam industri penyelesaian pengawasan di negara ini.

Timbalan Pengarah Urusannya Hiroyuki Muto berkata, platform itu menyediakan sistem H.265 secara menyeluruh yang menawarkan peningkatan dalam kualiti imej, sistem diyakini, keselamatan Protokol Internet (IP) serta kecerdasan tersedia.

“Platform baru itu diyakini dapat membantu terus mengukuhkan komitmen syarikat dalam memberi penyelesaian berkesan dengan memaksimumkan pulangan pelanggan terhadap pelaburan keselamatan iaitu keutamaan dalam setiap perniagaan,” katanya pada majlis pelancaran i-Pro Extreme baru di sini, semalam.

i-Pro Extreme baru menawarkan keunikan kerana ia memiliki tahap kebolehlihatan, pemampatan, keselamatan data serta kebolehpercayaan yang ekstrem kepada pengguna.

Platform itu membabitkan barisan kamera i-Pro Extreme yang terdiri daripada 17 model kamera H265, perakam i-Pro Extreme WJ-NX400 dan aplikasi pengurusan video i-Pro Extreme WV-A SM300.

Beliau berkata, platform terbaru itu akan terus meningkatkan tahap kualiti imej dan merendahkan keperluan lebar jalur yang melebihi jangkaan pelanggan.

“Kemudahan ini akan membantu pengguna menangkap, merakam dan menguruskan pengawasan video mereka dalam senario pengawasan yang paling mencabar,” katanya.

Ketika ini, perniagaan penyelesaian keselamatan bersepadu dan penyelesaian pengawasan video menyumbang kira-kira lapan peratus kepada pendapatan keseluruhan Panasonic Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2017 @ 12:55 AM