CHEW (kiri) bersama Pengurus Besar ManagePay System, Janette Lim menunjukkan bunting pelancaran ParcelPay perkhidmatan terbaru dalam MPay di majlis pelancaran, semalam.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Managepay Systems Berhad (MPay), syarikat teknologi kewangan menyasarkan peningkatan jumlah pengguna dompet elektronik dikenali MPay Wallet kepada sejuta dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Chew Chee Seng berkata, jumlah pengguna MPay Wallet dijangka meningkat kepada 100,000 menjelang hujung tahun ini berikutan pembabitan perniagaan daripada anak syarikat Johor Corporation dibantu penggunaan mesin kad kredit di seluruh negara.

Menurutnya, MPay Wallet kini memiliki ciri yang terkini seperti fokus kepada perkara berasaskan yuran, komisen dan kemudahan dagangan.

“Pada masa ini, kami sedang memproses transaksi bernilai antara RM150 hingga RM200 juta setahun dan ia akan mencecah RM1 bilion apabila jumlah pengguna meningkat kepada satu juta kelak,” katanya pada pengumuman ciri terkini MPay Wallet, semalam.

Dalam majlis sama, MPay melancarkan penyelesaian perkhidmatan penghantaran lengkap dikenali ParcelPay yang menghimpunkan beberapa syarikat kurier seperti Skynet, Line Clear dan Pos Laju bagi menawarkan penyelesaian automatik.

Beliau berkata, penyelesaian itu mampu memenuhi permintaan penghantaran kepada pelbagai kategori pengguna korporat, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), perusahaan dan individu melalui tiga jenis perkhidmatan iaitu ParcelPay Enterprise, ParcelPay CCOD dan ParcelPay Express.

Beliau berkata, ParcelPay Express antara perkhidmatan menarik yang berperanan sebagai perkhidmatan penghantaran logistik yang keempat dengan penggunaan telefon pintar.

Menurutnya, ia turut tersedia melalui MPay Wallet bagi membolehkan individu dan perusahaan kecil menghantar dan menerima bungkusan dari semua tempat di Malaysia.

“Kami berusaha mengukuhkan lagi ParcelPay ini di mana kami merancang lebih banyak jalinan kerjasama dengan penyedia logistik lain bagi meluaskan ParcelPay ke peringkat tempatan dan antarabangsa pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2017 @ 12:09 AM