Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Malayan Banking Berhad (Maybank), kumpulan perbankan terbesar Malaysia melancarkan platform teknologi kewangan (fintech) kerjasama serantau, Sandbox bertujuan memacu pertumbuhan teknologi kewangan ASEAN dengan lebih pantas.

Platform yang pertama seumpamanya di ASEAN itu menyediakan pelbagai peluang kepada syarikat baru dan ahli inovasi untuk membangun dan menguji idea baru kerana ia adalah ekosistem teknologi kewangan yang lengkap membabitkan semua komponen penting secara percuma.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Abdul Farid Alias berkata, menerusi platform Sandbox oleh Maybank ini, ia dapat mengisi jurang dengan menyediakan pelbagai alatan dan keupayaan bagi menjalin kerjasama dengan bakat pintar ASEAN.

Beliau berkata, dalam dunia hari ini, kemajuan teknologi dan digital sudah mengubah pelbagai industri yang mendorong pertumbuhan dan dalam dunia kewangan, tanggungjawab itu diterajui golongan usahawan dan syarikat dikenali sebagai fintech.

“Meskipun kebanyakan negara di rantau ASEAN berterusan melabur untuk membangun dan memupuk sektor ini, namun pertumbuhannya dilihat masih perlahan berbanding hab teknologi kewangan sedia ada seperti di Amerika Syarikat dan Eropah,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Platform Sandbox Maybank unik kerana ia mempunyai kemudahan akses kepada pemain utama industri di rantau ini dan juga seluruh dunia dalam ekosistem yang menyokong sebarang pola teknologi yang baru muncul seperti digital, Internet Segalanya (IoT), sosial, Cloud dan sumber terbuka.

Sebarang idea yang dikemukakan dalam platform Sandbox Maybank boleh merangkumi perkhidmatan baru, produk, alatan, permainan atau kod. Lebih menarik, ia boleh dicipta oleh sesiapa saja yang pada kebiasaannya menyediakan maklumat penting seperti skop dan kes sebenar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologi Kumpulan Maybank Mohd Suhail Amar Suresh berkata, apa yang Maybank tawarkan adalah satu platform untuk syarikat pemula, fintech dan mana-mana pihak yang berminat untuk bekerjasama, eksperimen serta menguji prototaip sebarang idea atau penyelesaian inovasi yang mereka ada.

“Matlamat kami mahu menjadi platform utama untuk fintech, ahli teknologi, peminat teknologi dan juga pelajar dari seluruh dunia yang mahu belajar mengenai pembangunan penyelesaian yang bukan saja datang daripada bank, malah broker, syarikat insurans dan organisasi bukan perbankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2017 @ 2:43 AM