X
Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) bakal menaik taraf sistem urus niaga Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta memperkenalkan opsyen sistem urus niaga tanpa buku dan mengguna pakai sistem satu nombor akaun untuk pelaburan dalam semua unit amanah ASNB.

Selaras dengan proses migrasi dari sistem lama ASB iaitu Sistem Unit Amanah (UTS) kepada Sistem Pengagihan Dana (FDS), ASNB mengumumkan penangguhan sementara urus niaga ASB pada 23 Jun ini untuk proses migrasi dan penambahbaikan sistem bagi meningkatkan keberkesanan operasi.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB Mohammad Hussin berkata, disebabkan penangguhan itu bersambung terus dengan cuti umum sempena Aidilfitri, ASB hanya akan mula diurus niaga semula pada 28 Jun.

Beliau berkata, langkah menambah baik sistem operasi ASB itu akan membolehkan operasinya diuruskan di bawah satu sistem yang mudah, sama seperti produk unit amanah ASNB yang lain.

“Langkah ini bertujuan meningkatkan kecekapan perkhidmatan ASB kepada pelabur kerana kami kini dapat menawarkan perkhidmatan yang sebelum ini tidak dapat diberikan menerusi sistem lama,” katanya pada sidang media penangguhan urus niaga ASB di sini, semalam.

Sebelum ini, pelabur perlu membawa buku pelaburan dan kad pengenalan untuk urus niaga dengan ASNB terutama untuk urus niaga pengeluaran.

Malah, pelabur yang kehilangan buku pelaburan juga terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan buku baru kerana ia hanya boleh dibuat di cawangan ASNB selain perlu membayar yuran penggantian buku.

Mohammad berkata, penambahbaikan sistem operasi itu juga membolehkan ASNB meluaskan rangkaian ejen yang menawarkan urus niaga ASB membabitkan Bank Simpanan Nasional (BSN), Affin Bank dan AmBank di mana semua bank berkenaan sebelum ini hanya menawarkan produk unit amanah ASB yang sudah dinaik taraf sistem operasinya.

“Proses menambah baik sistem operasi bagi semua produk unit amanah ASNB ini sudah bermula secara berperingkat sejak beberapa tahun lalu. Pada masa ini, semua produk unit amanah ASNB sudahpun dinaik taraf kecuali ASB,” katanya.

ASB adalah tabung unit amanah terbesar negara dan kini mempunyai lebih sembilan juta pelabur yang melanggan kira-kira RM143 bilion unit ASB.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016, ASB mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 6.75 sen seunit dan bonus 0.5 sen seunit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 4:36 AM