Pemenang Anugerah Khas sempena Karnival Kewangan Sabah 2017 bersama Abdul Rasheed (dua dari kiri) dan Raymond (tengah).
Nabil Basaruddin

Kota Kinabalu: Karnival Kewangan Sabah 2017 yang berlangsung selama tiga hari di pusat beli-belah Suria Sabah mencatatkan kehadiran luar biasa iaitu 25,000 pengunjung, lebih ramai berbanding penganjuran pertamanya di Kuala Lumpur.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Abdul Rasheed Abdul Ghaffour berkata, pencapaian itu bukti rakyat Sabah menyedari kepentingan memupuk kesedaran kewangan dari peringkat usia muda.

Beliau berkata, pengunjung bukan saja dari sekitar bandaraya Kota Kinabalu, malah turut menarik minat mereka di Tuaran, Beaufort, Kudat dan Semporna.

Katanya, karnival yang bermula Jumaat lalu itu menghimpunkan 43 institusi serta penyedia kewangan di sektor kewangan dan agensi berkaitan kerajaan negeri Sabah.

“Dengan kehadiran 25,000 pengunjung, karnival ini menyediakan pelbagai produk perbankan daripada simpanan, pinjaman persendirian seperti ASB, kenderaan, perumahan hingga pinjaman perniagaan.

“Lebih membanggakan, 1,000 akaun simpanan dibuka sepanjang karnival dan lebih 400 permohonan pembiayaan berjumlah RM30 juta dipohon,” katanya pada majlis penutup Karnival Kewangan Sabah 2017, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Raymond Tan Shu Kiah. Antara fokus diberikan pada karnival itu ialah pertumbuhan usahawan dan peningkatan kesedaran kewangan untuk orang ramai.

Abdul Rasheed berkata, sambutan diterima syarikat insurans dan takaful turut menggalakkan dengan catatan 130 langganan berjumlah RM850,000 diterima daripada pengunjung.

“Meskipun kehadiran sebahagiannya bersifat ingin tahu tanpa niat untuk melanggan produk, matlamat karnival ini untuk menjelaskan mengenai pengurusan kewangan dicapai dengan jaya,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya mengambil peluang berinteraksi dengan orang ramai untuk mendalami pandangan berkenaan peranan sektor kewangan dalam menjayakan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Hasil kaji selidik dalam tempoh tiga hari ini, kami menerima 936 pandangan daripada orang ramai seperti tahap celik kewangan, kebajikan kewangan dan rangkuman kewangan luas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 8:53 AM