HDS umum pelantikan selebriti Nassier Wahab, Jalaludin Hassan, Ramlah Ram dan Ras Adiba sebagai duta jenama.
Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Best Products, jenama yang diuruskan oleh Home Direct Shopping Sdn Bhd (HDS) yang menawarkan perkhidmatan pesanan melalui pos untuk pelbagai jenis produk dan barangan harian mengumumkan pelantikan selebriti Datuk Nassier Wahab, Datuk Jalaludin Hassan, Ramlah Ram dan Ras Adiba sebagai duta jenama.

Pengarah HDS, Datuk Shaharuddin Ariffin berkata, aura dan kemesraan keempat-empat selebriti yang disenangi ramai itu sepadan dengan matlamat syarikat bagi menarik golongan yang sudah berkeluarga.

“Pemilihan mereka dirasakan paling tepat dan sesuai bagi memperkenalkan jenama kami kepada orang ramai disebabkan katalog kami merangkumi pelbagai produk harian daripada produk penjagaan kulit, makanan kesihatan, aksesori wanita, tekstil sehinggalah ke barangan dapur dan perkakas rumah,” katanya.

Sementara itu, Nassier berkata, pihaknya meluahkan rasa syukur apabila ditawarkan untuk menjadi duta dan jurucakap Best Products.

“Alhamdulillah, semua ini dilihat sebagai rezeki dan tawaran yang diberikan sangat menarik. Selain itu, program ganjaran yang HDS adakan seperti Kempen Best Products dapat merapatkan saya dengan peminat,” katanya.

Sementara itu, Jalaludin berkata, dia sendiri enggan terlalu terburu-buru bersetuju untuk menggalas tugas sebagai duta kerana tanggungjawabnya besar serta membabitkan kredibilitinya yang dikenali ramai.

“Jadi, saya minta tempoh tiga bulan untuk cuba sendiri perkhidmatan Best Products. Saya berpuas hati dan saya sukakannya kerana ia membuat pembelian kini menjadi perkara yang mudah disebabkan jadual kerja saya yang selalu penuh dan tidak dapat meluangkan banyak masa untuk mengunjungi kedai,” katanya.

Bagi Ramlah Ram, pihaknya berbesar hati diberi kepercayaan dan dipilih sebagai wajah Best Products.

“Sebelum ini, saya memang pelanggan setia Best Products kerana barangan yang tersedia lengkap dan memudahkan saya membuat pesanan. Jadi, saya tidak berfikir panjang untuk terima tawaran diberikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 9:50 AM