Pengurus Kanan Jenama Prestige Sports, Frankie Ng Boon Jay (dua dari kanan) bersama Miss Malaysia Universe 2015, Vanessa Tevi (kanan sekali), pelawak Lan Pet Pet (dua dari kiri) dan personaliti sukan tanahair Sylvia Kavita Kumares (kiri sekali) menunjukkan sandal TEVA yang diperkenalkan di Kuala Lumpur, hari ini.
Badrila Jamlus
jbad@hmetro.com.my


PRESTIGE Sports Sdn Bhd (Prestige Sports), ejen jualan dan pengedaran sandal berjenama TEVA di Malaysia merancang membuka empat butik jualan termasuk satu di Pulau Pinang manakala tiga lagi di pusat beli belah terkemuka sekitar Lembah Klang pada tahun depan.

Butik pertama yang menampilkan konsep gaya hidup itu bakal dibuka di pusat beli belah Mid Valley pada Februari tahun depan membabitkan pelaburan kira-kira RM500,000.

Pengurus Kanan Jenama Prestige Sports, Frankie Ng Boon Jay berkata, syarikat mula mengambil alih jualan dan pengedaran sandal jenama Amerika Syarikat ini sejak awal tahun ini serta melihat produk itu memiliki potensi besar pasaran disebabkan kualiti tinggi yang ditawarkan.

Beliau berkata, sandal TEVA bukan saja tahan lasak serta selesa dipakai malah dihasilkan menerusi teknologi tinggi yang sesuai untuk cuaca di negara ini dan digayakan oleh sesiapa sahaja tidak kira lelaki mahupun perempuan.

“Tali sandal TEVA dibuat daripada bahan polyester yang mudah kering sekiranya basah dan tapaknya pula dilengkapkan dengan kusyen Shoc Pad™ dapat menyerap hentakan dengan baik.

“Selain itu, sandal ini turut dirawat dengan Microban®, satu teknologi antimikrobial berasaskan zink untuk mengelakkan daripada bau busuk kesan daripada berpeluh malah boleh digunakan ketika berenang di laut,” katanya selepas majlis pelancaran dua model baru, sandal TEVA Verra dan Terra Fi Lite di kedai konsep pertama di pusat beli belah Sunway Velocity Cheras, hari ini.

Hadir sama Pengurus Pemasaran Prestige Sports, Amiruddin Mustapa. Majlis pelancaran itu turut dimeriahkan dengan kehadiran personaliti sukan tanahair Sylvia Kavita Kumares, Miss Malaysia Universe 2015, Vanessa Tevi dan pelakon serta pelawak Lan Pet Pet.

Katanya, ketika ini Prestige Sports menawarkan lebih 15 rekaan sandal sama ada untuk kegunaan lasak, bersukan ataupun santai di kedai konsep ini yang akan dibuka selama setahun dan merancang memperkenalkan rekaan baru termasuk kasut pada masa depan.

Sandal Verra dijual pada harga RM319, adalah sepasang sandal yang bukan sahaja sedia-beraksi malah ia juga cantik dan sesuai dipakai untuk wanita manakala Terra Fi Lite dijual pada harga RM379.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 5:39 PM