Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Syarikat dari Jerman dilihat berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan membabitkan usaha menyepadukan Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) dalam sektor seperti aeroangkasa, automotif, bioteknologi, petrokimia dan elektrikal.

Pengerusi Penasihat Pengurusan TAPiO (TAPiO), Bernhard Schutte berkata, Bavaria International (Jerman) misalnya, memberi jaminan bahawa pembentukan sebarang perkongsian itu akan menyaksikan syarikat tempatan berkuasa penuh terhadap produk mereka selain peluang lebih besar dalam pasaran pengeluaran berkelas dunia menerusi jenama Jerman.

“Menerusi pakatan sedemikian, syarikat tempatan boleh memanfaatkan peluang berikutan kehadiran jenama Jerman yang berkualiti tinggi menjadi sebahagian daripada produk atau perkhidmatan masing-masing.

“Ini sekali gus dapat meningkatkan kedudukan Malaysia dalam pasaran global,” katanya pada sidang media prapelancaran Bengkel Industri Bavaria 4.0, di sini, semalam.

Bengkel berkenaan yang dianjurkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dijangka menarik 600 syarikat tempatan yang akan bermula pada 21 Ogos ini.

Ia dianjurkan dengan kerjasama Bavaria International dan TAPiO serta Invest Selangor, Pusat Pelaburan Negeri Johor (JSIC) dan Invest Penang yang akan diadakan dalam tiga siri iaitu di Selangor pada 21 Ogos diikuti Johor (23 Ogos) dan Pulau Pinang (25 Ogos).

Bengkel itu akan menyaksikan penyertaan dua pakar industri dari Jerman iaitu Pengarah Urusan TUM International, Daniel Gottschald iaitu pakar Industri 4.0 dari Technical University Munich dan Ketua Pegawai Eksekutif Bavaria International, Hans-Joachim Heusler.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Azman Mahmud berkata, pemain industri akan meraih banyak manfaat daripada bengkel itu khususnya daripada segi penerapan inovasi dan teknologi menerusi kerjasama dengan syarikat Jerman.

Beliau berkata, usaha itu bakal menumpukan kepada Industri 4.0 yang akan memberi penekanan kepada penggunaan automasi robotik dan pertukaran data dalam teknologi pembuatan amat penting dalam meningkatkan kualiti pengeluaran.

Azman berkata, Jerman adalah satu daripada pelabur asing terbesar di Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah dan sehingga 2016 menyumbang sebanyak RM31.21 bilion pelaburan membabitkan 417 projek pembuatan yang mewujudkan 44,833 peluang pekerjaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 9:00 AM