FARIDAH (tengah) bersama peserta pada Cabaran Hypermarket Sweep Petron, semalam.
FARIDAH (tengah) bersama peserta pada Cabaran Hypermarket Sweep Petron, semalam.
Sofyan Rizal Ishak

Shah Alam: Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd (Petron Malaysia) merancang untuk membuka lebih banyak stesen minyak baru dan meningkatkan kemudahan di stesen minyak Petron sedia ada sepanjang tahun ini dan tahun depan.

Ketua Dagangan Runcitnya, Faridah Ali berkata, langkah itu bertujuan membawa jenama Petron lebih dekat kepada pelanggan sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan mereka di pasaran tempatan.

“Kami menjangkakan 10 stesen minyak baru akan dibuka dalam tempoh empat bulan akan datang di mana semua stesen sudah siap dibina dan hanya menunggu kelulusan sebelum memulakan operasi,” katanya pada Cabaran Hypermarket Sweep Petron, di sini, semalam.

Petron Malaysia kini memiliki 600 rangkaian stesen minyak seluruh negara dan menawarkan bahan api premium seperti Blaze 100 Euro 4M, Blaze 97 Euro 4M, Blaze 95, Turbo Diesel Euro 5 dan Diesel Max.

Beliau berkata, pihaknya komited dalam membuka lebih banyak stesen minyak baru pada tahun depan di mana 20 hingga 30 stesen minyak kini sedang dibina dalam pelbagai fasa pembangunan.

“Selain itu, kami akan terus memastikan keselesaan pelanggan di stesen Petron sedia ada melalui peningkatan kemudahan seperti surau dan tandas seperti mana yang dilaksanakan di beberapa stesen sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Petron Malaysia menganjurkan Cabaran Hypermarket Sweep Petron untuk musim ketiga di mana barisan pemenang bersama tiga ahli keluarga mereka berpeluang mengisi dua troli dengan seberapa banyak barangan runcit dalam masa ditetapkan.

Lapan pemenang hadiah utama akan memenangi barangan runcit bernilai RM5,000 dengan tempoh masa lima minit manakala lapan pemenang hadiah saguhati memenangi barangan runcit RM3,000 dengan tempoh masa empat minit.

Untuk kali ini, acara itu akan diadakan di lima lokasi pasar raya besar Giant di Shah Alam, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuantan dan Kota Kinabalu dengan 56 pemenang keseluruhan menikmati ganjaran berjumlah RM240,000.

Cabaran Hypermarket Sweep Petron dianjurkan kali pertama pada 2015 dengan tawaran ganjaran RM500 sebelum jumlah itu dipertingkatkan kepada RM140,000 tahun lalu membabitkan 40 pemenang di empat lokasi seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 7:40 AM